Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Penamatan atau pemendekan tempoh khidmat Shuhaily akan diangkat untuk perkenan Agong -KPN

 

SHAH ALAM: Status perkhidmatan Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain di Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan nasihat perundangan sebelum sebarang keputusan berkaitan penamatan atau pemendekan tempoh perkhidmatannya diangkat untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, berkata perkara itu turut diserahkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) untuk tindakan lanjut.


Beliau berkata, rujukan kepada AGC perlu dibuat kerana penugasan Mohd Shuhaily di AKPS berdasarkan kontrak peminjaman kader daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh dua tahun yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"Kita merujuk perkara ini kepada AGC sebab penugasan Datuk Seri Mohd Shuhaily di AKPS untuk tempoh selama dua tahun.

"Dia macam kontrak, jadi kontrak ini dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"Jadi sekiranya berlaku apa-apa perkara yang membabitkan tahan kerja dan sebagainya, tindakannya nanti kita bergantung kepada nasihat AGC. Tapi apa pun perlu diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung dengan penamatan kontrak dan sebagainya," katanya.

Beliau ditemui selepas Persidangan Nasional Reformasi Kerenah Birokrasi 2026 anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar.

Perlu perkenan Agong

Mohd Khalid berkata, pandangan AGC diperlukan bagi memastikan sebarang tindakan terhadap Mohd Shuhaily mengambil kira terma kontrak yang ditandatangani pihak berkaitan serta keperluan mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"Beliau diangkat kepada AGC untuk mendapatkan pandangan perundangan sebab beliau ada kontrak yang ditandatangani antara pihak yang berkaitan selama lebih kurang dua tahun. Perkara ini mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk pelantikan.

"Jadi bila kita bertindak atas sesuatu perkara, kita perlu dapat balik perkenan Yang di-Pertuan Agong sama ada tempoh perkhidmatan itu dipendekkan atau sebagainya," katanya.

Katanya, selepas proses perundangan di peringkat AGC dan urusan mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong dimuktamadkan, perkara itu akan dikembalikan kepada PDRM untuk tindakan susulan.

"Bila selesai proses itu, dia akan dikembalikan kepada PDRM sebab Datuk Seri Mohd Shuhaily ini adalah salah seorang pegawai polis yang masih lagi berkhidmat.

"Sekembalinya nanti, mungkin saya akan memberikan keterangan yang lebih lanjut mengenai perkara yang perlu dilaksanakan atau tindakan susulan, insya-Allah," katanya.

Tindakan KDN dan KPN

Sementara itu, Shamsul Azri memaklumkan sebarang tindakan atau urusan lanjut berhubung isu membabitkan pegawai berkaitan diserahkan sepenuhnya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ketua Polis Negara.

"Bagi PDRM, uruskan dulu," katanya.

Ditanya sama ada tindakan terbabit membabitkan siasatan, beliau mengarahkan pihak berkaitan untuk menguruskannya terlebih dahulu bersama pegawai tertinggi kepolisan.