PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan melindungi penjawat awam yang menjalankan tugas secara profesional daripada sebarang tekanan susulan pertembungan politik semasa.
Timbalan Perdana Menteri menegaskan penjawat awam perlu terus melaksanakan tanggungjawab mengikut peraturan dan saluran perundangan yang betul.
"Saya akan lindungi... saya profesional dalam perkara ini. Saya mahu mengikut peraturan dan saluran perundangan yang betul. The rest, leave it to me. I know what to do with it (Selebihnya biarkan kepada saya, saya tahu apa perlu dibuat) dan Insya-Allah siapa yang akan pergi, siapa yang diperintah pergi, tengok nanti.
"(Tekanan oleh) ketua yang di atas sana, tak tahu siapa namanya tetapi fahamlah perkara ini," katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini, hari ini.
Ramai tertanya kestabilan Kerajaan Perpaduan
Ahmad Zahid berkata, perkembangan politik semasa khususnya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan mungkin menimbulkan persoalan dalam kalangan penjawat awam mengenai kestabilan Kerajaan Perpaduan serta hala tuju pentadbiran.
Bagaimanapun, beliau menegaskan persaingan politik di peringkat negeri tidak seharusnya menjejaskan pentadbiran di peringkat Persekutuan.
"Persaingan politik di peringkat negeri tidak akan pernah menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan," katanya.
Ahmad Zahid berkata, penjawat awam perlu peka terhadap perkembangan politik dan memahami konteks yang membentuk dasar kerajaan, namun tidak boleh terheret ke dalam politik kepartian.
"You have to be politically sensitive but you should never become politicized (Anda perlu peka politik tetapi jangan dipolitikkan)," katanya.
Beliau turut menegaskan perlu ada garis pemisah yang jelas antara politik dan pentadbiran, dengan profesionalisme penjawat awam memastikan setiap tugasan dilaksanakan secara berintegriti dan tanpa memihak.
Katanya, walaupun parti dalam Kerajaan Perpaduan boleh mempunyai perbezaan politik di peringkat negeri, tanggungjawab pentadbiran di peringkat pusat mesti mengatasi perbezaan berkenaan.
"Di negeri boleh kita berbeza pendapat. Tapi bila kita melaksanakan pentadbiran di peringkat pusat, kita mesti tidak ada perbezaan.
"Sebaliknya, kita mesti satu fikrah, satu perasaan dan satu tujuan untuk menentukan rakyat mesti didahulukan dalam melaksanakan urusan kerajaan di peringkat pusat," katanya.
Ahmad Zahid berkata, dalam dinamika politik yang berlaku, peranan penjawat awam tidak boleh diganggu-gugat kerana mereka adalah tonggak kesinambungan negara.
"Urusan kerajaan tidak boleh terhenti hanya kerana suhu politik meningkat," katanya.
Beliau menegaskan, penjawat awam bertanggungjawab memastikan kerajaan terus berfungsi, dasar dilaksanakan, projek bergerak dan perkhidmatan sampai kepada rakyat.

