Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Calon PH Jeram gesa orang ramai henti sebar video pemberian wang



JEMPOL – Pakatan Harapan (PH) DUN Jeram Padang menggesa orang ramai agar tidak menyebar video yang tular di media sosial mengaitkan parti itu dengan insiden pemberian wang di sekitar Rompin.

Calon PH Jeram Padang, Manivanan Gowin menyifatkan tuduhan tersebut sebagai fitnah yang bertujuan mengelirukan pengundi menjelang hari pengundian.


Beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan video yang sedang tular itu dan menyifatkan penyebaran tuduhan tanpa bukti sebagai tindakan tidak bertanggungjawab.

Menurut beliau, cubaan mengaitkan PH dengan dakwaan berkenaan bukan sahaja berunsur fitnah, malah berpotensi mempengaruhi persepsi pengundi ketika tempoh berkempen.

“Pakatan Harapan N.07 Jeram Padang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan dakwaan tersebut.

“Tuduhan tanpa bukti yang cuba mengaitkan kami adalah tidak bertanggungjawab dan boleh mengelirukan pengundi,” katanya dalam satu sidang media khas hari ini.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan pihaknya akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan segera dijalankan terhadap penyebaran video dan dakwaan berkenaan.

Manivanan turut menggesa orang ramai supaya menghentikan penyebaran maklumat yang tidak disahkan serta memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional.

“Mana-mana individu yang didapati menyebarkan fitnah atau maklumat palsu hendaklah dipertanggungjawabkan mengikut lunas undang-undang,” tegasnya.

Dalam masa sama, Manivanan menyerahkan kepada kebijaksanaan pengundi Jeram Padang untuk membuat penilaian berdasarkan rekod, fakta, idea dan komitmen setiap calon, bukannya dipengaruhi persepsi atau dakwaan yang belum dibuktikan.

Beliau menegaskan kempen pilihan raya seharusnya berlangsung secara matang dengan persaingan idea dan dasar, bukan melalui penyebaran fitnah yang boleh mencemarkan proses demokrasi.

“Biarlah rakyat mendengar, menilai dan membuat keputusan berdasarkan fakta,” katanya,” katanya.

Kerusi DUN Jeram Padang bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru apabila penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, dicabar oleh G. Manivannan (Pakatan Harapan), Datuk R. Sri Sanjeevan (Bersatu) dan Dayana Dal daripada Parti Orang Asli Malaysia (POAM).

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Mohd Zaidy berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 693 undi. 

sumber: MalaysiaGazette