KUALA LUMPUR: Bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Abdul Halim Aman dilantik Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu berkuat kuasa 13 Mei ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pelantikan Abdul Halim sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa pada 13 Mei ini.
Beliau menggantikan Tan Sri Azam Baki yang tamat kontrak pada 12 Mei ini.
"Saya ingin memaklumkan bahawa pada semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersembahkan cadangan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu kepada Yang di-Pertuan Agong.
"Selaras dengan subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694], Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan Datuk Sri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya 9SPRM)," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kerajaan berkeyakinan bahawa dengan pengalaman luas serta integriti yang tinggi, Abdul Halim akan mampu memperkukuh usaha pemerkasaan tadbir urus, meningkatkan keyakinan rakyat serta memperhebat agenda pembanterasan rasuah demi kepentingan negara.
Semalam, Sultan Ibrahim bertitah akan memilih Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi menerajui suruhanjaya berkenaan.
Baginda bertitah, jawatan berkenan amat penting dalam memastikan SPRM terus berperanan secara berkesan sebagai institusi utama negara dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
"Saya akan menentukan siapa calon terbaik untuk menerajui SPRM selepas ini," titahnya di Facebook.


