SONGKHLA – Pihak berkuasa Thailand bertindak menyita kira-kira 100,000 liter diesel dalam satu operasi di kawasan sempadan Sadao, wilayah Songkhla, yang dipercayai berkaitan dengan sebuah syarikat milik rakyat Malaysia.
Operasi bersepadu melibatkan polis, tentera dan agensi tempatan itu dilancarkan selepas menerima maklumat awam, sebelum risikan lanjut membawa kepada serbuan di lokasi berkenaan.
Hasil pemeriksaan mendapati sejumlah besar bahan api disimpan secara tersembunyi dalam tangki bawah tanah di premis syarikat terbabit.
Menurut pihak berkuasa tempatan, siasatan awal menunjukkan diesel berkenaan disimpan tanpa permit sah, sekali gus menimbulkan syak ia dibawa masuk dari Malaysia sebelum diedarkan secara tidak sah di Thailand.
Dalam operasi sama, seorang pekerja warga Thailand turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut. Kes kini disiasat di bawah undang-undang kawalan bahan api negara itu.
Pihak berkuasa Thailand menegaskan tindakan tegas akan terus diambil bagi mengekang aktiviti penyeludupan bahan api di kawasan sempadan, yang dilihat semakin aktif kebelakangan ini.
-TunCarlos

