WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dilaporkan sudah menghantar pelan 15 perkara kepada Iran sebagai cadangan menamatkan perang yang antara lain menetapkan had ketat terhadap program nuklear negara itu serta pembukaan semula Selat Hormuz, menurut laporan semalam.
Akhbar The New York Times yang memetik dua sumber dalaman melaporkan cadangan itu dihantar kepada Iran melalui Pakistan yang menawarkan diri sebagai pengantara.
Menurut saluran televisyen Israel, Channel 12, pula melaporkan AS dan Iran dijangka mengisytiharkan gencatan senjata selama sebulan, tempoh yang akan digunakan untuk rundingan berasaskan cadangan berkenaan.
Cadangan itu antara lain adalah:
▪️1. Iran mesti membongkar potensi nuklear sedia ada.
▪️2. Iran mesti berkomitmen untuk tidak pernah membangunkan senjata nuklear.
▪️3. Pemerkayaan uranium tidak akan dijalankan di wilayah Iran.
▪️4. Iran mesti memindahkan stok uranium yang diperkaya hingga 60 peratus kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dalam tempoh masa yang dipersetujui.
▪️5. Loji tenaga nuklear di Natanz, Isfahan, dan Fordow mesti dibongkar.
▪️6. IAEA, badan pengawasan nuklear PBB, mesti diberikan akses penuh, ketelusan, dan kawalan di Iran.
▪️7. Iran mesti meninggalkan "paradigma" serantau sebagai pengantara.
▪️8. Iran mesti menghentikan pembiayaan, pengarahan, dan persenjataan kepada proksi serantau mereka.
▪️9. Selat Hormuz mesti kekal terbuka dan berfungsi sebagai koridor maritim bebas.
▪️10. Program misil Iran mesti dibatasi dari segi julat dan jumlah misil, dengan ambang spesifik ditentukan kemudian.
▪️11. Sebarang penggunaan misil pada masa depan hanya dibenarkan untuk pertahanan diri.
Sebagai balasan, Iran akan menerima manfaat berikut:
▪️12. Tehran akan menerima penghapusan penuh sekatan yang dikenakan oleh komuniti antarabangsa.
▪️13. AS akan membantu Iran dalam membangunkan program nuklear sivilnya, termasuk penghasilan elektrik di loji tenaga nuklear Bushehr.
▪️14. Mekanisme "sanctions-snapback" yang membenarkan pengaktifan semula sekatan secara automatik sekiranya Iran gagal mematuhi syarat akan dimansuhkan.
Tindakan sekatan separa oleh Iran di Selat Hormuz sebelum ini menyebabkan harga tenaga global meningkat.
Rumah Putih dan Jabatan Negara Amerika Syarikat setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung laporan berkenaan.
Terdahulu pada hari sama, Presiden Donald Trump berkata beliau optimistik usaha diplomasi dengan Iran dapat diteruskan.
AS bersama Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari lalu yang bermula dengan pembunuhan pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei.
Pelan yang dilaporkan itu juga tidak menyebut mengenai usaha menukar kerajaan Iran, walaupun negara itu sebelum ini bertindak tegas mengekang protes besar-besaran beberapa minggu lalu sehingga mengorbankan ribuan orang. - AFP

