KLUANG – Sebanyak 11 bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Johor mengisytiharkan pembubaran masing-masing susulan kemelut dalaman parti yang semakin serius.
Bahagian terlibat ialah Mersing, Pontian, Johor Bahru, Labis, Simpang Renggam, Sembrong, Pengerang, Tanjung Piai, Ledang, Pulai dan Sri Gading.
Ketua Bahagian Pontian, Datuk Isa Ab Hamid berkata, keputusan itu dibuat selepas pimpinan pusat didakwa gagal memberi penjelasan memuaskan berhubung isu yang dibangkitkan sebelum ini.
“Keadaan ini menunjukkan hala tuju parti seolah-olah sudah rosak dan kepercayaan pengundi yang sebelum ini menyokong Bersatu dilihat semakin hilang.
“Ketidakupayaan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Badan Perhubungan Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal menyatukan ketua-ketua si peringkat bahagian membuatkan kami hilang kepercayaan bersama parti lebih-lebih lagi dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,” katanya.
Beliau turut mendakwa keadaan parti bertambah tegang susulan pemecatan Timbalan Presiden, Hamzah Zainudin serta beberapa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Isa berkata, surat peletakan jawatan ketua-ketua bahagian terbabit akan diserahkan kepada Setiausaha Agung parti dalam masa terdekat.

