KANGAR: Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Perlis yang hilang jawatan wakil rakyat selepas dihentikan keahlian parti memfailkan saman pemula terhadap Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis bagi mencabar keputusan mengisytiharkan kekosongan luar jangka kerusi mereka.
Mereka masing-masing memohon keputusan pengosongan tiga kerusi DUN diwakili adalah di luar aturan, terbatal, tidak sah dan defektif.
Mereka adalah ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim, Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping) yang diberhentikan keahlian dalam PAS pada 24 Disember lalu sehingga menyebabkan Speaker DUN Perlis, Rus'sele Eizan mengumumkan kerusi DUN yang diwakili mereka perlu dikosongkan.
Dalam satu kenyataan media bersama hari ini, mereka menegaskan pengumuman Speaker bertarikh 25 Disember lalu itu dibuat di luar bidang kuasa yang diperuntukkan.
"Dalam hal ini, kami menghormati pandangan Speaker tetapi berpendapat keputusan mengisytiharkan kekosongan kerusi itu adalah 'terkhilaf dan berada di luar aturan'.
"Susulan itu, kami mengambil tindakan memfailkan saman pemula terhadap Speaker sebagai defendan pertama dan DUN Perlis sebagai defendan kedua bagi menuntut mahkamah membatalkan pengisytiharan itu," katanya.
Menurut mereka, tindakan berkenaan diambil demi kebajikan rakyat kerana ketiadaan wakil rakyat selama hampir dua tahun sebelum pilihan raya negeri seterusnya dianggap menjejaskan kepentingan pengundi di kawasan terbabit.
"Kami menuntut pengisytiharan yang dibuat defendan pertama adalah di luar aturan, terbatal, tidak sah dan defektif.
"Selain itu, kami memohon relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah," katanya.
Mereka berkata tindakan saman itu difailkan melalui peguam, Mohd Jamil Yaacob daripada Tetuan Srihana Mohamad & Partners.
Sementara itu, Rus'sele ketika dihubungi berkata, ADUN berkenaan berhak memfailkan saman kerana itu adalah hak mereka dan dirinya hanya menjalankan tugas seperti yang ditetapkan.
"Itu adalah hak mereka (failkan saman) dan saya pun jika ada ruang merayu atau apa jua perkara yang dapat memberi ruang kepada mereka untuk dilihat dari sudut undang-undang, saya akan berikan.
"Jika mereka menang pun tidak ada masalah apa-apa kerana saya hanya menjalankan tugas sebagai Speaker sahaja," katanya.
Rus'sele berkata, buat masa ini pihaknya belum lagi menerima sebarang notis atau writ saman daripada pihak berkenaan.

