KOH SAMUI: Seorang chef YouTube warga Sepanyol mengaku membunuh dan mengerat mayat teman lelakinya sebelum membuang bahagian tubuh mangsa ke laut dan tapak pelupusan sampah dalam satu kejadian menggemparkan di Thailand, lapor Mirror.
Suspek, Daniel Sancho Bronchalo, 31, mengaku membunuh kekasihnya, seorang pakar bedah plastik dari Colombia, Dr Edwin Arrieta Arteaga, 44, ketika mereka bercuti di Koh Phangan, sebuah pulau terkenal dengan Pesta Bulan Mengambang.
Dalam kejadian pada Ogos 2024 dilaporkan kedua-dua lelaki itu bertengkar dan Daniel mendakwa mereka bergaduh selepas mangsa didakwa cuba melakukan serangan seksual terhadapnya.
Polis berkata, mangsa mati selepas kepalanya terhantuk pada tab mandi dalam bilik hotel yang ditempah oleh suspek.
Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati terdapat unsur pembunuhan terancang berdasarkan bukti yang diperoleh.
Selepas kejadian itu, cef berkenaan mengaku mengerat mayat kekasihnya kepada 14 bahagian, memasukkan sebahagiannya ke dalam beg pakaian dan beg plastik, sebelum membuangnya ke laut dengan menaiki kayak serta di sekitar kawasan pulau itu.
Beberapa bahagian tubuh mangsa termasuk pinggul dan paha ditemui penduduk tempatan di tapak pelupusan sampah Koh Phangan sekali gus mencetuskan siasatan besar-besaran oleh pihak berkuasa Thailand.
Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan suspek membeli pisau, sarung tangan, beg sampah dan bahan kimia dari sebuah kedai serbaneka sehari sebelum kejadian, sekali gus mengukuhkan dakwaan bahawa pembunuhan itu dirancang lebih awal.
Pada mulanya, Daniel membuat laporan polis kononnya Dr Arrieta hilang. Namun selepas siasatan terperinci, dia ditahan dan kemudian mengaku merancang pembunuhan kerana mangsa mengugut mahu mendedahkan hubungan sejenis mereka kepada keluarganya.
Mahkamah Wilayah Koh Samui menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas Daniel selepas dia memberi kerjasama penuh semasa perbicaraan. Hukuman asal ialah hukuman mati namun diringankan atas faktor pengakuan dan kerjasama.
Selain itu, dia turut dijatuhkan hukuman penjara empat bulan kerana menyembunyikan mayat yang kemudian dikurangkan kepada dua bulan selepas pengakuan bersalah.
Mahkamah juga memerintahkan dia membayar ganti rugi 4 juta baht (kira-kira RM524,256) kepada keluarga mangsa.
Kes itu menggemparkan negara asal suspek, Sepanyol dan menarik perhatian media antarabangsa. Malah, platform penstriman HBO turut menghasilkan dokumentari berbahasa Sepanyol berdasarkan kes berprofil tinggi itu.
Daniel ialah anak kepada pelakon terkenal Sepanyol, Rodolfo Sancho Aguirre dan Silvia Bronchalo, yang kedua-duanya hadir di mahkamah semasa keputusan dijatuhkan pada musim panas lalu.
video: