TAWAU: Perbuatan tidak bermoral seorang lelaki yang menunjukkan kemaluannya di hadapan seorang pelajar perempuan membawa padah apabila dia ditahan polis, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata suspek berumur lingkungan 30-an itu ditahan susulan laporan diterima polis daripada remaja berusia 15 tahun terbabit.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari itu, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang dari sekolah menuju ke rumahnya sebelum dihampiri sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.
"Suspek yang pada awalnya bertanyakan arah jalan kepada mangsa sebelum bertindak berkelakuan tidak senonoh menunjukkan kemaluannya.
"Mangsa yang terkejut bagaimanapun segera melarikan diri ke kawasan perumahan yang berhampiran kerana bimbang akan keselamatan dirinya sebelum tampil membuat laporan polis," katanya menerusi kenyataan di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut Jasmin berkata, susulan laporan itu suspek berjaya dikesan dan ditahan di sebuah rumah di kawasan Merotai oleh sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai, pada kira-kira jam 4.30 petang hari sama.
Katanya, suspek bersama barang rampasan iaitu sebuah kenderaan pacuan empat roda dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum selama tempoh 20 tahun dan sebat," tegasnya.