PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia untuk mengadakan perbincangan dengan pimpinan UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi memberi penjelasan mengenai isu Titah Adendum untuk membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Tegasnya, perkara itu telah dimaklumkan beliau kepada Ahmad Zahid.
“Semalam ramai Ketua Bahagian UMNO membangkitkan isu Adendum dan mohon adakan pertemuan dengan saya dan menggesa supaya ada pelaksanaan Titah berkenaan.
“Itu perkara yang saya tekankan.. hal ini masih dan telah dirujuk di mahkamah. Saya tidak boleh mendahului mahkamah dalam hal ini.
“Saya telah beritahu Presiden, Timbalan Presiden dan kepimpinan UMNO bahawa saya sedia untuk mengadakan perbincangan dengan mereka memberi penjelasan sekiranya perlu, atau melakukan apa apa yang baik untuk menjaga keharmonian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan menunaikan solat Jumaat bersama lebih 1,000 jemaah di Surau Al-Istiqlal, Presint 14 di sini.
Malam semalam, 160 bahagian UMNO dilaporkan mendesak kerajaan melaksanakan Titah Adendum Yang Dipertuan Agong ke-16 berhubung kes Datuk Seri Najib.
Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Mohd Shafie Abdullah menggesa kerajaan tidak melengahkan pelaksanaan Titah berkenaan.
Datuk Seri Najib kini menjalani hukuman enam tahun di Penjara Kajang setelah disabit kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.