Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Mahadi nafi menipu pelabur, dakwa turut rugi RM20.7 juta


KUALA LUMPUR: Suami kepada selebriti Datin Heliza Helmi, Datuk Mahadi Badrul Zaman mendakwa bahawa dirinya turut menjadi mangsa skim pelaburan dikatakan patuh syariah, sehingga mengalami kerugian mencecah RM20.7 juta.

Susulan itu, Mahadi memaklumkan, beliau telah membuat laporan berhubung kes skim pelaburan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Jumaat lalu.


Mahadi mendakwa bahawa beliau dilantik sebagai wakil syarikat atau ketua ejen pemasaran yang tugasnya ialah menjemput dan memperkenalkan skim pelaburan itu kepada orang ramai sejak 2022.

"Saya telah membuat enam pelaburan dan mula melabur di dua syarikat milik individu sama ini sejak 2022 sebelum dilantik untuk memperkenal serta mempromosikan skim pelaburan yang ditawarkan.

"Ini kali pertama saya tampil membuat pendedahan supaya semua pihak, terutama mangsa dan ejen lain bawah saya faham bahawa saya tidak ada niat menipu mana-mana pihak, malah saya juga mangsa.

"Wallahi, saya rasa bersalah dan terkesan kerana menjadi punca atau 'bridge' (jambatan) kepada skim ini," dakwanya pada sidang media dikendalikan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), di sini, hari ini.

Mahadi mendakwa, beliau sendiri juga tidak mengetahui ke mana hala tuju wang pelaburan kesemua 186 pengadu yang membabitkan keseluruhan kerugian berjumlah RM60.7 juta.

Beliau berkata, setiap syarikat berkenaan mempunyai pakar serta panel syariah bertauliah dan profesional.

"Bukan saya yang membuat perjanjian skim pelaburan... syarikat berkenaan mempunyai peguam yang ditugaskan membuat dokumen perjanjian antara pelabur dengan syarikat," dakwanya lagi.

Mahadi memaklumkan pada awalnya, semua pelaburan berjalan lancar termasuk pemberian dividen seperti yang tercatat dalam dokumen perjanjian.

"Syarikat berkenaan kemudian mengeluarkan memorandum memaklumkan penangguhan bayaran (dividen) pada Jun 2024 kepada Januari tahun ini.

"Sepatutnya pihak syarikat membayar dividen kepada pelabur pada Januari tahun ini, namun ia tidak dilaksanakan," dakwanya.

Susulan itu, Mahadi berkata, pihaknya menerima banyak panggilan daripada pelabur berkaitan isu berkenaan.

"Berikutan tiada penyelesaian, kami kemudian telah berjumpa dan berbincang dengan Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, untuk mengambil langkah selanjutnya seperti membuat laporan polis," katanya.