Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Pekerja restoran nasi kandar popular maut ditetak empat lelaki


TASEK GELUGOR - Seorang pekerja restoran nasi kandar maut dengan kesan tetakan di bahagian kepala, lengan dan badan dalam kejadian di Taman Sepadu Jaya, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, dalam kejadian jam 3.20 pagi itu mangsa seorang warga Myanmar telah diserang empat lelaki tidak dikenali bersenjatakan parang di restoran nasi kandar berkenaan.


Menurutnya, siasatan awal mendapati keempat-empat suspek warga tempatan itu datang ke restoran tersebut menaiki sebuah kereta berwarna gelap dengan memakai topi dan penutup muka.

"Kesemua suspek terus menyerang mangsa yang sedang bertugas di restoran terbabit.

"Mangsa cuba melarikan diri dan kesemua suspek bertindak mengejar dan menetak mangsa di bahagian kepala, tangan dan badan.

"Setelah beberapa kali ditetak mangsa telah jatuh terbaring dan kesemua suspek terus bertindak melarikan diri dengan menaiki kenderaan yang sama," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Anuar berkata, sebaik menerima laporan kejadian berkenaan sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian bagi melakukan pemeriksaan dan terdapat seorang mangsa dengan kesan tetakan di belakang lengan tangan, kepala dan beberapa kesan luka di bahagian belakang badan mangsa.

"Suspek terlibat dalam kejadian ini masih belum dikenal pasti dan pihak polis sedang berusaha mengesan mereka.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kepala Batas bagi tujuan bedah siasat dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Anuar turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes terbabit agar dapat menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Shuheri Abdul Rani dalam talian 04-5762222 atau mana-mana balai polis terdekat untuk membantu siasatan.

VIDEO KEJADIAN: KLIK SINI