Penerangan PAS Pahang selar tindakan gantung banner dakwa YB pembangkang dinafikan peruntukan
Labels:
Politik
KUANTAN: Ketua Penerangan PAS Pahang,
Aireroshairi Roslan menyelar tindakan pihak yang sengaja mencetuskan provokasi dan melakukan vandalisme dengan menggantung ribuan banner ataupun sepanduk di beberapa kawasan di Pahang.
Banner-banner tersebut mengutarakan tentang isu tiadanya peruntukan kewangan kepada pihak wakil rakyat pembangkang daripada Kerajaan Negeri Pahang.
Aireroshairi berkata beliau mendapat laporan bergambar diseluruh Pahang dihiasi dengan banner provokasi yang caranya agak ekstrim, dan gantung tepat pada sebelum hari sidang Dun di Pahang.
"Kerja sebegini tidak boleh mendatangkan apa-apa faedah selain menyemarakkan api permusuhan dikalangan rakyat."ujarnya di Facebook.
"Ahli PAS yang memahami dasar dan corak politik PAS tidak akan sesekali melakukan perkara tidak bermoral seperti ini.
"Setinggi-tinggi tahniah kepada PBT daerah Jerantut yang telah menurunkan banner-banner tersebut pada pagi tadi. Diharap PBT di kawasan lain juga mengambil keputusan yang sama." kata beliau.
Sebelum ini Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menjelaskan bahawa kerajaan negeri telah pun menyalurkan peruntukan kepada pembangkang.
Wan Rosdy berkata, pembangkang tidak mempunyai topik lain yang boleh dibangkitkan. Contohnya ketika Ramadan Kerajaan negeri menyalurkan kepada semua wakil rakyat pembangkang sebanyak RM5,000 dan RM30,000 untuk projek di setiap kawasan.