Pelakon, Diana Danielle mengumumkan bakal memfailkan perceraian dengan suaminya yang juga aktor, Farid Kamil.
Perkara itu dimaklumkan sendiri Diana menerusi sebuah hantaran di dalam Instagram, petang Isnin.
“Saya telah memutuskan untuk secara rasmi berpisah dengan suami dan akan memfailkan perceraian,” tulisnya.
Dalam pada itu, ibu kepada dua orang cahaya mata itu tidak mahu mengulas lanjut mengapa dia membuat keputusan sedemikian.
“Saya tidak akan menjelaskan kenapa.
“Mungkin dia akan seperti biasa dengan bunga dan cincin tetapi penuh dengan janji palsu. Have a nice life,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Diana turut berharap agar Farid bersetuju dan bersedia untuk melepaskannya.
“Rujuk bukan untuk semua. Lepaskan saya. Terima kasih,” katanya lagi.
Diana pada masa sama menegaskan dia tidak akan termakan dengan pujuk rayu suaminya lagi selepas ini.
Terdahulu, pasangan selebriti ini pernah bercerai talak satu pada 10 Ogos secara atas talian sebelum rujuk semula pada 31 Ogos tahun lalu.
Mereka mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.