Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

BN lantik Ketua Pemuda Kluang calon di PRK Mahkota


KLUANG: Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Pemilihan itu diumumkan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di sini, sebentar tadi selepas mendapat restu daripada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Pengumuman itu disambut dengan sorakan lebih 5,000 penyokong BN dan UMNO serta PH walaupun berlangsung dalam hujan.

Syed Hussien sebelum ini adalah antara dua nama yang disenarai pendek sebagai calon BN. Seorang lagi adalah Naib Ketua Wanita UMNO Kluang, Zainani Jamaluddin.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata BN menerima seramai 17 calon terdiri daripada peringkat Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

"Pemilihan calon ini dibuat berdasarkan boleh menang dan juga boleh diterima pengundi di DUN Mahkota.

"Saya mendengar perbincangan bersama menteri besar dengan berapa pihak untuk mengkaji kebolehan untuk menangkan calon ini.

"Siapapun yang menjadi calon perlu mengambil tempoh tujuh hari (sebelum hari penamaan) untuk membuat pemujukan kepada semua jentera dan juga pengundi," katanya ketika merasmikan pelancaran Jentera dan Pengenalan Calon BN PRK DUN Mahkota di Bilik Gerakan BN di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Zulkefley Ahmad serta beberapa pemimpin komponen BN dan Pakatan Harapan (PH).

Ahmad Zahid berkata Syed Hussien yang terpilih sebagai calon bukan sahaja mewakili BN malah dikenali sebagai calon Kerajaan Perpaduan.

"Semasa PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, BN tak bertanding namun berkat pertolongan bersama kita menang cemerlang.

"Semangat yang kita menang di Parlimen Tanjung Piai akan dibawa ke DUN Mahkota kerana kombinasi di sini cukup baik dan ini memberi peluang cerah kepada BN," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRK DUN Mahkota pada 28 September ini manakala penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing 14 dan 24 September.