KLANG: Pendakwah selebriti, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun.
Ringkasan AI
Pendakwah selebriti Azman Syah Alias atau PU Azman didapati bersalah atas dua pertuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun.
Hukuman penjara 12 tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan, berjalan secara berasingan, serta kaunseling dan pengawasan polis selama dua tahun selepas hukuman.
Kejadian berlaku di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang pada 20 Februari dan 29 Jun 2022.
Keputusan itu dibuat Hakim Noridah Adam selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Bagi pertuduhan pertama hukuman penjara 12 tahun dan satu sebatan, manakala pertuduhan kedua jumlah penjara sama dan satu sebatan, yang mana hukuman itu berjalan secara berasingan.
Tertuduh juga diperintah menjalani kaunseling selain pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai hukuman.
Sebelum ini, Azman Syah diperintah membela diri pada Disember tahun lalu atas dua pertuduhan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun (ketika kejadian) di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang, di sini, masing-masing pada 12.15 tengah malam dan 1 pagi pada 20 Februari dan 29 Jun 2022.
Pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur’ Ayuni Jamri, Nurul Izzati Mohamad dan Zahida Zakaria manakala Azman diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad.