KUANTAN – Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menitahkan seorang pengguna media sosial menghormati Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Komen itu dibuat untuk pengguna media sosial yang menggunakan akaun ’samdoria’ yang dilihat memberi komen ”Respect lagi Tan Sri Muhyiddin” semalam.
”Tolong respek (respect) suami saya raja saya,” titah Tengku Ampuan Pahang ketika membalas komen berkenaan.
Manakala seorang pengguna sosial Huzaimi Ibrahim turut membalas hantaran itu kepada baginda.
”Menjunjung titah Tuanku, Daulat Tuanku,” kata Huzaimi di tangkapan skrin sosial media berkenaan.
Komen berkenaan dilihat di dalam hantaran Facebook Wan Rosdy bin Wan Ismail yang sebelum itu menzahirkan kecewa dan terkilan dengan ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Neggiri baru-baru ini.
Sebelum ini, tular ucapan Muhyiddin ketika berkempen di DUN Nenggiri yang mendakwa beliau sudah mendapat 115 sokongan ahli Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ucapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, sokongan yang peroleh itu membolehkan beliau diangkat sebagai perdana menteri namun tidak dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk mengangkat sumpah.
Ceramah oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin itu didakwa secara sengaja mencetuskan suasana tidak harmoni dengan menyentuh isu 3R merujuk raja, agama dan kaum dalam kempen politik.
Susulan itu pada Menteri Besar Pahang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin yang didakwa biadab ke atas Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi kenyataannya pada semalam.
Naib Presiden UMNO berkata, tindakan terhadap Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu itu penting sebagai pengajaran dan peringatan kepada semua pihak. – MalaysiaGazette