WASHINGTON/ANKARA: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Ahad mengumumkan menarik diri daripada pilihan raya presiden AS dan menyokong Naib Presidennya Kamala Harris sebagai calon Parti Demokrat.
“Adalah satu penghormatan terbesar dalam hidup saya untuk berkhidmat sebagai presiden anda.
Walaupun saya berniat untuk bertanding semula, saya percaya adalah demi kepentingan parti dan negara untuk saya mengundurkan diri dan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tugas sebagai presiden bagi baki penggal saya, kata Biden dalam satu kenyataan di platform X.
Biden menyatakan sokongan penuh kepada Harris untuk menggantikan beliau sebagai calon presiden dalam pilihan raya akan datang yang akan diadakan pada 5 Nov, lapor Agensi Anadolu (AA).
Demokrat, sudah tiba masanya untuk bersatu dan mengalahkan Trump. Mari kita lakukan ini, katanya.
Biden berkata beliau akan berucap kepada negara minggu ini dengan menjelaskan lebih terperinci mengenai keputusannya.
Pencalonannya menjadi tumpuan berikutan prestasi hambarnya ketika menentang bekas Presiden Donald Trump dalam debat presiden akhir bulan lalu.
Trump menerima pencalonan presiden Republikan pada Khamis di Konvensyen Nasional Republikan (RNC) di Milwaukee, Wisconsin, di tengah-tengah desakan hebat agar Biden menarik diri daripada perlumbaan.
Kamala Harris bersama Joe Biden |
Sementara itu, Harris dalam satu kenyataan berkata beliau berbesar hati menerima sokongan Biden dan hasratnya adalah untuk memperoleh dan memenangi pencalonan ini.
“Sepanjang tahun lalu, saya telah mengembara ke seluruh negara, bercakap dengan rakyat Amerika mengenai pilihan yang jelas dalam pilihan raya bersejarah ini.
Itulah yang akan saya terus lakukan dalam hari-hari dan minggu-minggu akan datang. Saya akan melakukan segala yang saya mampu untuk menyatukan Parti Demokrat dan menyatukan negara kita bagi mengalahkan Donald Trump dan agenda ekstrem Projek 2025 beliau, katanya.
Kita mempunyai 107 hari sebelum menjelang Hari Pilihan Raya. Bersama-sama, kita akan berjuang. Dan bersama-sama, kita akan menang, tulis Harris.
Menurut CNN memetik sumber, rancangan untuk Biden menarik diri daripada pilihan raya presiden telah diputuskan pada malam Sabtu dan dimuktamadkan pada Ahad.
Biden masih dalam pemulihan daripada diagnosis Covid-19 dan berehat di kediamannya di Rehoboth Beach, Delaware.