Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Perkara 'hebat' sedang berlaku di Selatan -Tun M


SHAH ALAM - Pembinaan Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) antara Johor Bahru dan Singapura yang sedang rancak berjalan menarik perhatian bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam hantaran terbaharunya di Facebook, Dr Mahathir berkata, tiang-tiang konkrit sedang meninggi merentasi Selat Tebrau dan menyifatkan ‘perkara hebat’ sedang berlaku di Selatan.


Menurutnya, walaupun tidak mendengar banyak laporan mengenai projek berkenaan di dalam negara, namun beliau percaya sudah tentu ia tidak boleh dibina tanpa kelulusan Kerajaan Malaysia.

“Tidak lama lagi 40,000 penumpang akan menaiki RTS setiap hari dari Woodlands di Singapura ke Bukit Chagar di Johor. Sudah tentu kita harus meluluskannya.

“Malaysia sentiasa meluluskan projek oleh Singapura sedangkan negara itu tidak meluluskan cadangan kita untuk menggantikan tambak dengan jambatan.

“(Sedangkan) Jika jambatan dibina, tongkang dan bot boleh berlayar di antara pelabuhan Pasir Gudang dan Tanjung Pelepas. Pada masa ini, pelayaran dari Pasir Gudang ke Tanjung Pelepas adalah empat kali lebih lama daripada pelayaran terus di sepanjang Selat Tebrau,” katanya pada Isnin.

Tambah Dr Mahathir, sudah tentu ia bukanlah sebab Singapura menentang penggantian tambak dengan jambatan tetapi hakikatnya selagi tambak itu ada, tidak mungkin untuk belayar di sepanjang Tebrau dari Pasir Gudang dan Tanjung Pelepas.

Jelasnya, RTS Link akan merentasi Selat Tebrau di trek bertingkat, yang mana ia tidak direka untuk kapal belayar di antara tiang seperti jambatan Pulau Pinang.

“Jadi walaupun tambak itu ‘dibongkar’, pergerakan di sepanjang selat antara Pasir Gudang dan Tanjung Pelepas tidak akan dapat dilakukan.

“Mungkin sekarang Singapura mungkin melihat dengan baik cadangan Malaysia untuk pembongkaran tambak dan penggantian jambatan. Sementara itu, kita semua boleh menikmati layanan Singapura dalam perjalanan empat kilometer di RTS,” ujar beliau.

Projek RTS Link adalah rangkaian kereta api ulang-alik sepanjang kira-kira empat kilometer dengan dua stesen masing-masing di Bukit Chagar di sini dan di Woodlands North, Singapura.

Dengan kapasiti sehingga 10,000 penumpang setiap jam bagi setiap arah dan masa perjalanan kira-kira lima minit antara kedua-dua stesen, RTS Link akan menyediakan perjalanan mudah dan selesa antara Singapura dan Johor Bahru.

Sistem pengangkutan yang dianggarkan menelan belanja RM10 bilion itu dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari 2027.