Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Pihak pendakwaan tutup kes 1MDB selepas 6 tahun


KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan kes penyelewengan dana syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Datuk Seri Najib Razak akhirnya menutup kes hari ini selepas perbicaraan mengambil masa selama enam tahun.

Prosiding kes itu berlangsung selama 235 hari.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memaklumkan pihak pendakwaan menutup kes selepas semua 50 saksi selesai memberikan keterangan hari ini .


"Oleh kerana tiada lagi saksi yang perlu dipanggil (memberi keterangan) dan tiada lagi saksi yang perlu disoal balas, jadi saya ingin menutup kes pendakwaan.

"Selepas 235 hari perbicaraan dalam tempoh enam tahun dan 50 saksi pendakwaan sudah dipanggil, pihak pendakwaan ingin menawarkan 49 orang saksi kepada pembelaan," katanya.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian mengarahkan kedua-dua belah pihak memfailkan hujahan bertulis pada 26 Julai dan hujahan balasan masing-masing pada 9 Ogos ini.

Beliau turut menetapkan tarikh hujahan lisan pada 19 hingga 22 Ogos ini.

Najib didakwa di Mahkamah Sesyen pada 20 September 2018 dan kes itu dibenarkan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2018, manakala perbicaraan bermula pada 28 Ogos 2019.

Antara saksi penting yang dipanggil memberikan keterangan termasuklah bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh; bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan bekas peguam syarikat itu, Jasmine Loo Ai Swan.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014, manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas menteri kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.