Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Penduduk Jitra gempar, lelaki panjat pencawang elektrik cuba bunuh diri (video)


JITRA - Seorang lelaki mengundang rasa cemas orang ramai apabila nekad memanjat sebuah pencawang elektrik berketinggian 25 meter, dipercayai untuk membunuh diri di Kampung Muhibbah, dekat Tanah Merah di sini, petang semalam.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin, lelaki itu yang berusia dalam lingkungan 39 tahun kemudiannya duduk selama hampir dua jam di atas pencawang bervoltan tinggi tersebut, sebelum dibawa turun menggunakan jentera khas kira-kira jam 8.43 malam.


Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira jam 7.17 dan tiba di lokasi kejadian empat minit kemudian.

"Setibanya di lokasi kejadian, didapati seorang lelaki berada di atas pencawang milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dipercayai dengan tujuan untuk terjun ke bawah.

"Sehubungan itu pihak kami membawa jentera Aerial Ladder Platform (ALP) ke lokasi kejadian untuk tugas-tugas menyelamat. Setelah dipujuk berkali-kali, dia akhirnya berjaya dibawa turun dengan selamat walaupun pada mulanya enggan berbuat demikian," katanya ketika dihubungi Getaran.

Tambahnya, pihaknya berdepan kesukaran untuk menurunkan mangsa berikutan voltan elektrik amat tinggi pada pencawang, yang mampu mendatangkan bahaya kepada semua pihak terlibat.

"Berikutan itu pihak TNB turut dipanggil untuk membantu dan mereka telah memutuskan bekalan elektrik di pencawang berkenaan.

"Sebaik dibawa turun, lelaki terbabit kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu seorang individu yang berada di lokasi kejadian memaklumkan, dia pada mulanya tidak perasan mengenai kejadian tersebut ketika melalui kawasan berkenaan pada waktu senja.

"Sewaktu melalui jalan utama berhampiran pencawang, saya melihat ramai orang yang mendongak ke langit. Apabila saya berpaling dan turut sama mendongak, saya dapat lihat keberadaan lelaki itu di kedudukan amat berbahaya pada paras cukup tinggi.

Dalam pada itu tinjauan Getaran di lokasi kejadian mendapati orang ramai turut bersorak apabila bomba berjaya membawa lelaki itu turun.

Disebabkan dia berada pada kedudukan yang amat tinggi, orang ramai dilihat berkerumun di beberapa kawasan berhampiran termasuk berhampiran jalan utama di kawasan itu bagi menyaksikan kerja-kerja menyelamat. - Getaran

video: