Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

MB Perlis dakwa tak gundah gulana anak ditangkap SPRM


KANGAR: Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata beliau mengetahui berita mengenai penahanan anaknya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

"Saya dah maklum berita daripada SPRM dan serah kepada budi bicara SPRM," 

"Saya tiada gundah gulana, esok saya jawab dalam dewan, itu sahaja setakat ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15 di Kompleks DUN Perlis, Persiaran Wawasan, di sini hari ini.

Terdahulu, SPRM menahan reman enam orang termasuk anak lelaki seorang menteri besar bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan dokumen dan tuntutan palsu bernilai RM600,000 sejak dua tahun lalu.

Selain anak Mohd Shukri, turut ditahan dua penjawat awam di Pejabat Menteri Besar dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, manakala selebihnya adalah kontraktor syarikat.

Kesemua suspek yang berusia 26 hingga 37 tahun ditahan oleh SPRM antara pukul 7 hingga 8 pagi semalam (Selasa) di sekitar Perlis.

Majistret Ana Rozana Mohd Nor membenarkan perintah reman terhadap kesemua suspek bermula hari ini sehingga esok bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

-- BERNAMA