Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

PAS dakwa dah bayar RM659,000 hutang pencetak Harakah




PAS akhirnya mendakwa telah melunaskan sejumlah hutang bernilai lebih RM659,000 kepada bekas pencetak, iaitu akhbar rasmi parti itu seperti yang diputuskan mahkamah.

Menurut sumber, pembayaran dibuat melalui serahan cek kepada peguam yang mewakili NAJ Press Resources (M) Sdn Bhd pada 7 Mac lalu.

Pada 5 Dis tahun lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan tawaran NAJ Press Resources untuk penghakiman ringkas (keputusan tanpa perbicaraan penuh), dan memerintahkan PAS serta dua yang lain membayar RM656,233.69 kepada pencetak itu.


PAS bagaimanapun memfailkan rayuan pada 14 Dis.

Sementara itu peguam yang mewakili NAJ Press Resources Putra Taulan Rasul ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Malah katanya PAS juga menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

”Pihak PAS sudah buat bayaran penghakiman dan telah menarik balik rayuan. Pihak kami juga mengetepikan faedah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Terdahulu tular satu surat dikeluarkan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan memohon sumbangan selamatkan Harakah biayai perintah pembayaran mahkamah kepada NAJ Press Resources.

Surat bertarikh 5 Feb lalu itu memohon sumbangan antara RM3,000 hingga RM5,000 daripada PAS kawasan, sayap-sayap dan PAS negeri.

Bagaimanapun kesahihan surat tersebut tidak dipastikan selepas beberapa pimpinan PAS dihubungi tidak memberikan sebarang respons.

Untuk rekod, pada Ogos 2019 Malaysiakini mendedahkan mengenai pertikaian hutang yang melibatkan Harakah dan dua pencetaknya pada masa itu - Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd dan NAJ Press Resources.

Jumlah hutang dengan Angkatan Edaran dikatakan berjumlah lebih RM2 juta, namun syarikat itu telah diisytiharkan muflis.

Bagaimanapun, pengurusan yang sama menubuhkan NAJ Press Resources sebagai pengganti dan terus mencetak Harakah ketika itu.

Firma guaman Putra Taulan & Faiq Azizan mewakili NAJ Press Resources.