Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Isteri kelar leher anak berusia setahun, hantar gambar pada suami


Johor Bahru : Seorang wanita bukan sahaja tergamak mengelar leher anak lelakinya, namun sempat pula menghantar gambar mangsa yang berlumuran darah itu kepada suaminya menerusi kiriman WhatsApp.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, laporan diterima pihaknya kira-kira 1.30 tengah hari semalam itu menyaksikan seorang kanak-kanak berusia setahun enam bulan maut selepas dikelar ibu kandungnya di sebuah kawasan perumahan dekat Pasir Gudang di sini.


Beliau berkata, tangkapan berjaya dibuat ke atas suspek warga tempatan yang berusia 32 tahun itu untuk siasatan lanjut.

"Kita turut merampas sebilah pisau di lokasi kejadian yang dipercayai digunakan untuk mengelar mangsa.

"Permohonan reman terhadap suspek dibuat hari ini," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut Kumar, kes diklasifikasikan dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Setakat ini, motif kejadian dan punca kematian masih dalam siasatan," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, untuk bedah siasat.

Ahli keluarga terdekat ketika ditemui berkata, perubahan sikap wanita berusia 32 tahun itu dikesan sejak Jumaat lalu sebelum suaminya pergi kerja di sebuah kilang di Tanjung Langsat, Pasir Gudang.

“Suaminya cakap, dia risau nak tinggalkan isterinya untuk pergi kerja sebelah pagi sebab malam Sabtu dia diam.

“Mereka baik-baik sahaja tak ada gaduh pun, boleh kata sering balik kampung di Felda Redong dan Kemelah, Segamat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dia berkata, mereka sekeluarga terkejut apabila dihubungi bapa bayi memaklumkan kejadian menyayat hati itu kira-kira selepas waktu zohor, semalam.

Katanya, kali terakhir mereka bertemu ketika berbuka puasa awal Ramadan lalu di kampung halaman di Segamat.

“Memang kami tidak sangka perkara seperti ini berlaku, memang kami terkejut sebab setahu kami ibu (mangsa) tak ada sakit,” katanya.

Keluarga kedua-dua pihak memaklumkan pasangan itu sudah lama kenal sejak di bangku sekolah sebelum mendirikan rumah tangga pada Disember 2021.

Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata iaitu mangsa yang kini berusia setahun enam bulan dan tinggal bertiga di Taman Cahaya Masai sejak berkahwin.

Dalam pada itu, ahli keluarga memaklumkan mangsa merupakan anak tunggal yang aktif selain baharu boleh berjalan serta bercakap.