Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Menantu Muhyiddin masih hilang


KUALA LUMPUR: Menantu bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang menghilangkan diri sejak Mei tahun lepas perlu kembali ke negara ini untuk menghadapi pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata kertas siasatan membabitkan Muhammad Adlan, 48, telah pun selesai dan sudah bersedia untuk dituduh di mahkamah, namun sehingga kini beliau masih belum dapat dikesan.


"SPRM telah hantar kertas siasatan itu untuk pertuduhan di mahkamah," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah ke-10 di Dewan Tun Hussein Onn, World Trade Centre di sini yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Zuki Ali hari ini.

Pada Oktober lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan telah menyerah dokumen diperlukan kepada Interpol untuk permohonan Notis Merah terhadap Muhammad Adlan dan peguamnya Mansoor Saat, 69.

Beberapa dokumen, termasuk draf pertuduhan kes membabitkan dua individu berkenaan telah diserahkan kepada PDRM bagi melengkapkan permohonan Notis Merah.

Sebelum ini pada Ogos tahun lepas, peguam kepada Adlan memberi jaminan beliau kembali ke negara ini secepat mungkin bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing.

Peguam Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu yang mewakilinya berkata, anak guamnya bersedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selagi unsur ancaman dan pendakwaan terhadapnya diketepikan.

Sehubungan itu, Baljit menafikan anak guamnya melarikan diri daripada pihak berkuasa sebaliknya menegaskan beliau meninggalkan negara ini secara sah selain tidak pernah ditahan oleh SPRM atau dipanggil sebelum ini bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, anak guamnya telah memberikan tarikh kembali ke tanah air namun terkesan dengan tindakan SPRM berhubung tindakan ‘memburu’ dan menuding jari terhadapnya sehingga merugikan ahli perniagaan itu

“Secara peribadi, dia mengalami penderitaan mental dan trauma serta keluarganya juga menderita,” katanya ketika itu.








Tindakan memanggil Muhammad Adlan adalah kali pertama dilakukan oleh SPRM membabitkan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Semakan rekod oleh SPRM juga mendapati kedua-dua individu terbabit sudah meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei tahun lepas.

- BERNAMA