Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Man on The Run, Fahmi akan bertemu MCMC dalam masa terdekat


PETALING JAYA: Kerajaan belum membuat keputusan berhubung permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, supaya arahan dikeluarkan kepada Netflix untuk menurunkan serta melarang tayangan dokumentari Man on the Run.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata perkara itu membabitkan kes mahkamah yang masih berjalan.


"Ada beberapa pandangan awal disampaikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) tetapi saya rasa ia perlu diberikan beberapa pertimbangan berlandaskan undang-undang kerana ia membabitkan kes mahkamah.

"Saya akan adakan pertemuan dalam masa terdekat dengan MCMC terutama bagi meneliti aspek perundangan sebelum kita boleh buat pengumuman lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pameran seni seramik Raaqoo Life Magnified-The Main Show oleh Adil Ghani di sini, hari ini.

Baru-baru ini, peguam Najib memohon kerajaan mengarahkan perkhidmatan aplikasi penstriman itu menurunkan serta melarang tayangan dokumentari berkenaan yang mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tetuan Shafee & Co mendakwa dokumentari itu, yang ditulis serta diarah oleh Cassius Michael Kim, adalah subjudis dan memudaratkan pembelaan Najib dalam perbicaraan kes 1MDB yang masih berjalan.

Dalam perkembangan lain, Fahmi akan berbincang dengan Kumpulan MyCreative Ventures (MyCreative) dalam mengenal pasti seniman tempatan yang boleh diketengah untuk mengeluarkan hasil seni istimewa dan boleh dijadikan cenderahati rasmi bagi kegunaan kerajaan.

"Sebelum ini, kita ada beberapa cenderahati yang mungkin biasa gunakan tapi untuk tahun ini, mungkin saya minta pasukan di kementerian pertimbang mengapa kita tidak cari seniman tempatan untuk kita hasilkan beberapa cenderahati khas untuk acara yang istimewa.

"Saya akan bincang dengan MyCreative yang banyak membantu seniman tempatan bagaimana kita boleh usahakan cenderahati seperti ini. Ini antara lain sebagai tanda sokongan (kepada seniman tempatan)," katanya. - BERNAMA