Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kenyataan bukan Melayu boleh jadi PM, Kit Siang akan ke balai polis


KUALA LUMPUR: Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, mengesahkan akan memberi keterangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa beberapa hari lagi, berhubung kenyataannya yang menyentuh kemungkinan orang bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata, kenyataan berkaitan Impian Malaysia itu dibuat ketika berucap di hadapan pelajar Malaysia di Manchester pada akhir bulan lalu.

"Saya dituduh membuat kenyataan provokatif apabila saya menyatakan Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahawa orang bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri.

"Tiada niat sedemikian. Perlembagaan bukan dokumen provokatif, (ia) asas kepada kesatuan rakyat Malaysia yang mesti dipertahankan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Khamis lalu, Kit Siang berkata, polis sedang mencari beliau susulan kenyataannya di Manchester ketika berucap di hadapan pelajar Malaysia, bahawa Perlembagaan Malaysia pada 1957 mahupun selepas dipinda pada 1963 ketika Malaysia dibentuk, tidak menyekat mana-mana orang bukan Melayu daripada menjadi Perdana Menteri

Bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dilaporkan berkata, beliau berharap Malaysia tidak perlu menunggu lama seperti Amerika Syarikat (AS) untuk mempunyai pemimpin daripada kalangan minoriti.

Beliau merujuk kepada pelantikan bekas Presiden AS, Barack Obama yang menjadi orang kulit hitam pertama dipilih menerajui negara itu, kira-kira 230 tahun selepas AS mencapai kemerdekaan.

Susulan kenyataan Kit Siang itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Hasmuni Hassan, dilaporkan berkata kenyataan veteran DAP berkenaan menunjukkan sikap sebenar parti diwakilinya, dan dianggap tidak sesuai dengan situasi semasa di Malaysia.

Hasmuni berkata, Kit Siang sepatutnya menghormati orang Melayu dan UMNO yang bersama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menjelaskan lanjut, Kit Siang berkata, beliau setuju dengan kenyataan bahawa orang bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia, adalah 'kenyataan fakta' tetapi bukan 'kenyataan realiti.'

"Itulah sebabnya saya berkata di Manchester: 'Di AS, ia mengambil masa 230 tahun untuk seorang kulit hitam Amerika menjadi Presiden AS. Saya berharap Malaysia tidak akan mengambil masa 230 tahun untuk orang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri, namun dalam 100 tahun akan datang, saya tidak menjangka perkara ini akan berlaku'," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kit Siang berkata, sejak lima tahun kebelakangan ini, rakyat Malaysia membiarkan diri mereka terperangkap dalam ketaasuban berkaitan isu '2R' mengenai kaum dan agama, serta mempercayai bahawa satu kaum atau agama sedang menghadapi kepupusan.

"Tiada kaum atau agama di Malaysia yang menghadapi ancaman atau kepupusan. Sebagaimana titah Sultan Selangor dalam satu temu bual, baru-baru ini, Malaysia adalah 'melting pot' pelbagai budaya yang dipelihara sejak merdeka, dan negara perlu terus mempertahankan nilai serta latar belakang pelbagai budaya yang kekal sebagai salah satu kekuatan yang menyatukan negara.

"Sultan Selangor bertitah tidak ada pendatang di Malaysia kerana Raja-Raja Melayu telah menerima semua, termasuk bukan Melayu sebagai warganegara," katanya.