Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Bekas isteri Radhi OAG tuntut RM300,000


PETALING JAYA: Bekas isteri Radhi OAG, Nur Shahira Ayu Zahiri mahukan penyanyi itu membayar RM300,000 untuk keperluan anak ekoran persetujuannya menarik balik kes terhadap artis berkenaan.

Meskipun memahami situasi Radhi, Nur Shahira, 29, meminta bekas suaminya membayar RM1,000 sebulan atau bayaran penuh untuk perbelanjaan kedua-dua anak mereka, Muhammad dan Nur Aisyah masing-masing berusia enam dan tujuh tahun.

“Saya faham situasi Radhi, permintaan (RM300,000) untuk anak-anak dan Radhi sudah setuju dengan perkara itu. Selepas ini, kami akan buat ‘hitam putih’ (dokumen rasmi) untuk ditandatangani (persetujuan).


“Sebenarnya Radhi nak beri RM5,000 dan RM500 sebulan, saya rasa tidak cukup untuk dua anak. Saya juga perlu bayar pinjaman kereta dan rumah, selain keperluan baju, makanan, vitamin, tuisyen dan sekolah anak,” katanya.

Nur Shahira menyatakan demikian ketika ditemui wakil media di pekarangan Mahkamah Majistret di sini selepas prosiding perbicaraan terhadap Radhi atau nama sebenarnya, Muhammad Radhi Razali, 46, hari ini.

Radhi didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Nur Shahira di parkir Emporis Menara D Kota Damansara, di sini, pukul 2.29 petang pada 19 April 2022.

Sementara itu berhubung rumah yang ditawarkan oleh Radhi, Nur Shahira mengesahkan bahawa penyanyi itu ada meminta agar dia dan anak-anak menetap di situ.

“Untuk apa (tawaran rumah)? Nak suruh dia (Radhi) datang ke? Saya pun ada beli rumah dan kereta sendiri. Saya sudah ada semua itu.

“Minta maaf nak cakap, kalau boleh tak nak apa-apa, hanya untuk anak-anak saja. Saya pun sudah penat, benda ini (dipukul) banyak kali berlaku dan kali ini saya buka kes (lapor polis),” katanya.

Sebelum itu, ketika prosiding di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol, Nur Shahira memaklumkan pihaknya tidak berhasrat meneruskan kes terhadap Radhi dan mahu menyelesaikannya tanpa melalui perbicaraan yang lebih panjang.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Julai ini bagi sebutan kes supaya pihak-pihak memaklumkan status laporan polis yang perlu ditarik balik oleh Nur Shahira selepas wanita itu menyelesaikan kesnya di luar mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Radhi didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Nur Shahira di parkir Emporis Menara D Kota Damansara, di sini, pukul 2.29 petang pada 19 April 2022.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

-UTUSAN