Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

E-invois ganti GST tingkat hasil pendapatan negara


KUALA LUMPUR – Kaedah e-invois dalam sistem percukaian akan dapat membantu menambah hasil pendapatan negara.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, kaedah berkenaan dapat mengatasi ekonomi gelap atau tidak sah yang dibuat demi mengelak membayar cukai.

“Kaedah ini boleh membantu untuk menambahkan hasil yang mana jumlahnya agak banyak. Jika kita belum lagi boleh melaksanakan GST maka sistem e-invois perlu diperhebatkan.


“Invois elektronik (e-inviois) ini menyebabkan segala perniagaan menjadi telus, maklumat telus dan apabila itu berlaku, kurang pelarian cukai,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan E-Kaunter dan Piagam Pelanggan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

Jelas Ahmad, kerajaan memutuskan untuk memperkenalkan kaedah e-invois pada tahun depan.

Terdahulu beliau berkata, hasil cukai negara perlu ditambah untuk meningkatkan pendapatan negara.

Meskipun perbelanjaan pembangunan negara pada tahun ini terbanyak dalam sejarah namun, katanya jumlah berkenaan dilihat masih tidak mencukupi.

“Tahun ini perbelanjaan pembangunan yang tertinggi dalam sejarah RM99 bilion, tetapi kita melihat ia tidak cukup nak buat jalan baru, nak selesaikan sekolah dan klinik daif, tidak cukup untuk mengatasi banjir, tidak cukup untuk pembangunan luar bandar dan desa dan banyak lagi.

“Oleh itu perluasan hasil cukai, pengutipan cukai dengan lebih berkesan termasuk pengakuan sukarela supaya hasil daripadanya boleh menambah pendapatan kerajaan,” tambah beliau.

Semalam Ahmad pada persidangan Dewan Rakyat berkata, model percukaian yang digunakan di negara ini tidak mampan dan disebabkan itu pendapatannya lebih rendah berbanding negara maju lain termasuk jiran di rantau ASEAN.

Terdahulu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkata, e-invois akan memudahkan pembayar cukai menyimpan dan mengawasi rekod kewangan masing-masing. 

– MalaysiaGazette