Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Adun PAS kena waran tangkap


KUALA TERENGGANU, 16 Mac - Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu di sini hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah kerana gagal menghadiri perbicaraan berhubung petisyen pilihan raya yang difailkan calon Barisan Nasional (BN) untuk membatalkan kemenangan Tan Sri Abdul Hadi Awang di Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Hassan Ghani mengeluarkan arahan berkenaan selepas kegagalan Mohd Nor memberi kerjasama untuk hadir ke mahkamah.

Menurut peguam mewakili pempetisyen, beliau yang juga Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri gagal mematuhi perintah mahkamah bagi perbicaraan petisyen pilihan raya parlimen Marang pada hari ini iaitu 16 Mac.

"Pada 14 Mac lalu, Datuk Hassan telah mengarahkan Mohd Nor untuk hadir semula ke mahkamah pada hari ini untuk sambung memberikan keterangan.


"Namun begitu, pada pagi ini beliau telah gagal untuk menghadirkan diri ke Mahkamah," katanya kepada RTM.

Mahkamah menetapkan perbicaraan berhubung petisyen berkenaan disambung pada 19 Mac ini.

Pada 3 Januari lalu, Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang-Kemaman.

Petisyen pilihan raya itu difailkan calon BN, Datuk Mohd Zubir Embong.

Petisyen membabitkan tiga Parlimen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, dilaporkan berkata petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan PAS telah menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Ahmad Amzad memenangi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU15 dengan majoriti 40,907 undi dalam pertandingan empat penjuru.