Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Tak perlu lagi tampal 'road tax' di cermin kereta



PETALING JAYA: Kenderaan persendirian milik rakyat Malaysia tidak lagi perlu mempamerkan cukai jalan di cermin depan kenderaan bermotor mereka, berkuat kuasa hari ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Pada sidang media, Siew Fook berkata ini adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Pengangkutan untuk mendigitalkan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), khususnya bagi lesen kenderaan bermotor dan lesen memandu.


Beliau berkata, Seksyen 20 Akta Pengangkutan Jalan, yang menyatakan lesen kenderaan bermotor mesti disangkut dan dipamerkan pada kenderaan, tidak akan dikuatkuasakan lagi.

“Ini akan dilakukan secara berperingkat, dengan fasa pertama melibatkan kenderaan persendirian individu termasuk motosikal milik rakyat Malaysia,” katanya. 

Loke pada 3 Januari lalu dalam kenyataan di Facebook mengenai pelekat cukai jalan yang dikatakan sering tertanggal menyatakan akan mengambil tindakan berhubung perkara itu.

"Saya tahu ramai orang mengadu mengenai pelekat cukai jalan yang kurang berkualiti dan perkara itu memang dalam perhatian kami serta satu perubahan besar akan dilaksanakan dalam tahun ini," kata Loke dalam kenyataan itu.

Loke dilaporkan berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memberi fokus kepada pendigitalan sistem bagi menyelesaikan isu orang ramai terpaksa beratur panjang dan menunggu lama di kaunter ketika berurusan.

"Antara agenda utama JPJ tahun ini ialah melaksanakan digitalisasi dalam perkhidmatan teras kepada rakyat seperti pelesenan kenderaan dan pemandu, selain memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang jalan raya," katanya.

Beliau berkata, antara agenda utama kementerian adalah mempermudahkan urusan rakyat.

"Saya tidak ingin melihat orang ramai beratur panjang di pejabat JPJ dan menyusahkan mereka," katanya.

Sejak tahun lalu, pelekat cukai jalan menjadi perhatian orang ramai kerana didakwa tidak berkualiti kerana cepat rosak dan tidak tahan lama sekiranya ditanggalkan. Ia juga menjadi kabur dan kurang jelas sebelum cukai jalan itu tamat manakala sisa gam melekat pada cermin kereta apabila ditanggalkan.

Isu beratur panjang di pejabat JPJ juga tidak berkesudahan sejak sekian lama meskipun era digitalisasi pejabat kerajaan sudah lama berlangsung dan menyebabkan kewujudan 'ejen-ejen' yang mengambil kesempatan terhadap kelemahan sistem terbabit.

Anthony Loke bercakap ketika sidang media berkenaan pengumuman Inisiatif Pendigitalan Perkhidmatan Teras Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kementerian Pengangkutan hari ini. 


– UTUSAN