Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Pihak berkuasa jejak 90 individu terima 'sedekah' PRU15


PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan ia sedang menyiasat dakwaan pengundi di Terengganu menerima wang tunai untuk mengundi parti politik tertentu ketika PRU15 pada 19 Nov lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata agensi itu sedang mengesan kira-kira 90 pengundi yang didakwa menerima wang itu.

“Kami sedang mengenal pasti 90 individu di Terengganu yang dikatakan menerima pemberian wang untuk mengundi sebuah parti politik pada (PRU15),” katanya dalam kenyataan ringkas.

Walaupun beliau tidak menamakan parti itu, siasatan berkenaan dipercayai berkaitan PAS selepas Umno Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 di tiga kerusi Parlimen di negeri itu atas alasan pembelian undi.

Sebelum ini, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mempertahankan agihan wang beberapa hari sebelum PRU15 atas alasan ia dilakukan orang awam, bukannya calon sendiri.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, hanya calon pilihan raya dan ejen mereka dilarang memberi wang tunai.


Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Hamzah Zainudin, dilaporkan berkata pemberian wang kepada pengundi ketika berkempen boleh diterima jika ia dilakukan dengan niat baik.

Tetapi, Azam kemudiannya berkata, SPRM akan menyiasat apa saja bentuk rasuah berdasarkan peruntukan undang-undang, bukannya tertakluk kepada pemahaman peribadi.

Katanya, sama ada ia “sedekah” atau “sumbangan”, undang-undang menganggapnya rasuah yang dibayar kepada pengundi, tidak kira pengundi memintanya atau tidak.

Sementara itu, Malaysiakini melaporkan SPRM sudah mengesan separuh daripada 90 individu itu, tetapi bergelut untuk mengesan baki pengundi yang tinggal di luar negeri itu.

-FMT