Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Enam anggota polis didakwa membunuh


    
TAWAU: Seorang pegawai kanan polis bergelar Datuk bersama lima anggota polis dan seorang awam didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan membunuh dan bersubahat membunuh seorang pemandu e-panggilan di sebuah ladang sawit di Tawau bulan lalu.

Lima anggota polis itu ialah Rosdi Rastam, 44, Dennis Enit, 44, Fabian Rungam, 43, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 39, serta orang awam Vivien Fabian, 34, didakwa dengan niat bersama membunuh Nurman Bakaratu, 61.

Seorang lagi tertuduh yang merupakan pegawai kanan polis bergelar Datuk, Mat Zaki Md Zain, 58, didakwa bersubahat dengan enam individu itu untuk membunuh lelaki terbabit.

Semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5 di Tawau antara 7.30 malam hingga 11.30 malam 13 Jan lalu.

Enam individu itu dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, manakala Mat Zaki didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 akta sama, dengan kedua-duanya memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Mohd Yunus, serta tiada ikat jamin ditawarkan kepada tertuduh dan mahkamah menetapkan sebutan semula kes 11 April ini.

Pasukan pendakwaan terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad, Khairul Azreem Mamat, Muhammad Ilmami Ahmad, Rohaiza Abdul Rahman, dan Mohammad Fakhrurazzi Ahmad Salim.

Tertuduh Rosdi diwakili peguam Kamarudin Mohamad Chinki serta Timothy Daut, manakala Khairul Azman diwakili peguam Chen Wen Jye, Ram Singh dan Kimberly Ye, bagaimanapun lima lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, tiga lagi individu yang dibawa ke mahkamah membabitkan kes sama diberi bon jaminan untuk hadir sebagai saksi pendakwaan, iaitu orang awam Shim Vui Nyen dan dua anggota polis, Usman Lanaga dan John Kennedy Sanggah.


Dzul Elmy menetapkan bon jaminan masing-masing RM20,000 untuk dua saksi polis, manakala RM10,000 bagi saksi awam.

Terdahulu, lori polis yang membawa semua tertuduh tiba di perkarangan mahkamah Tawau dengan kawalan ketat dan bergari pada 1.48 tengah hari, sebelum prosiding bermula 2.50 petang.

Pada 30 Jan lalu, penganggur Nurima Juli, 33, didakwa di Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan membunuh Nurman di ladang sawit berhampiran Jalan Anjur Juara, Jalan Apas, Batu 5 antara 7.30 malam hingga 9 malam 13 Jan lepas.


-FMT