Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Bersatu rayu batal beku akaun, tiada duit bayar gaji



Bersatu akan menulis surat kepada SPRM bagi memohon pembatalan perintah pembekuan akaun banknya.

Sekali lagi menafikan menerima sebarang wang daripada dana pakej rangsangan ekonomi bernilai RM92.5 bilion seperti didakwa, Muhyiddin Yassin berkata pembekuan itu akan menjejaskan operasi mereka.

“Bila dah beku akaun, kami sebagai pertubuhan politik yang penting dan besar ini tak ada duit untuk bayar gaji pentadbiran.

“Bukan sahaja untuk sebulan. Sekarang ini mereka kata beku tiga bulan. Pun susah. 

“Itu membawa kesan kepada kelicinan pentadbiran parti dan juga peranan kita sebagai parti yang penting dalam negara,” kata presiden Bersatu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata SPRM membekukan akaun bank Bersatu sejak dua minggu lalu bagi memudahkan siasatan berdasarkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Bagaimanapun, Azam enggan mengulas lebih lanjut.


Pada awalnya pembekuan itu didakwa ada kaitan dengan siasatan terhadap dana rangsangan kerajaan - berjumlah RM92.5 bilion - bagi membendung Covid-19 dan didakwa diselewengkan.

Bagaimanapun sumber SPRM yang enggan dikenali mendakwa, pembekuan itu bagi menyiasat dakwaan Bersatu menerima sumbangan lebih lebih RM300 juta daripada kontraktor yang mendapat pelbagai projek semasa parti itu menjadi kerajaan.

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin semalam mengecam kerajaan yang menurutnya menggunakan agensi kerajaan sebagai alat untuk "membunuh" kredibiliti Bersatu serta Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini, akaun parti UMNO juga pernah dibekukan.

Pada 29 Jun 2018, kerajaan memaklumkan bahawa sejumlah akaun milik UMNO serta parti-parti politik yang dipercayai terlibat dengan penyelewengan dana 1MDB telah dibekukan.

Walaupun sudah terbukti akaun UMNO tiada kaitan dengan 1MDB, kerajaan masih lagi membekukan akaun tersebut tanpa memberi sebarang alasan pada ketika itu.

-Malaysiakini/TunCarlos