Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

'Saya telah dipecat dari UMNO serta merta' -Noh Omar



Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Noh Omar hari ini mendakwa dia dipecat daripada Umno.

Bercakap kepada media di luar ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, Noh berkata, pada asalnya dia digantung keahliannya selama enam tahun.

Bagaimanapun, kata Noh, dia memberitahu MKT jika digantung selama enam tahun adalah lebih baik parti itu memecat saja keanggotannnya.

“Buat apa (parti) gantung saya? Sebaliknya saya minta presiden (Ahmad Zahid Hamidi) pecat saja saya.

“Presiden bersetuju dengan permintaan saya dan kata saya telah dipecat dengan serta-merta,” katanya.

Ketika laporan ini ditulis MKT Umno masih bermesyuarat. Pertemuan hari ini menarik perhatian banyak pihak dengan status bekas ketua Pemuda Umno banyak disebut orang.

Sementara itu Ketua Penerangan Umno Malaysia Isham Jalil menjelaskan keputusan itu dibuat selepas Noh sendiri minta dia dipecat.

Kata Isham, Noh memaklumkan perkara tersebut semasa menghadiri mesyuarat MKT Umno malam ini.


Terdahulu katanya lembaga disiplin parti meneliti dan membuat keputusan untuk menggantung keahlian Noh atas sebab melanggar disiplin semasa pilihan raya umum baru-baru ini.

Noh pernah menjadi menteri dalam kabinet BN dengan kali terakhir menganggotai barisan kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob sebelum parlimen dibubarkan pada 10 Okt 2022.

Jawatan terakhir Noh ialah menteri pembangunan usahawan dan koperasi.

Bagaimanapun dalam PRU ke-15 lalu Noh digugurkan daripada mempertahankan kerusi Tanjung Karang. Dia merupakan ahli parlimen bagi kawasan itu sejak 1995.