Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kebakaran berlaku di Kementerian Kewangan


PUTRAJAYA: Percikan api ketika kerja ubah suai dan penyelenggaraan yang terkena longgokan kertas lama dipercayai punca kebakaran di stor sisa pukal yang terletak di aras bawah Kementerian Kewangan Malaysia di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu daripada MERS999 pada jam 2.36 petang.

Menurutnya, kejadian kebakaran yang berlaku di lokasi terbabit di aras G kementerian itu disedari oleh pekerja penyelenggaraan elektrik.

"Pada masa sama, pekerja penyelenggaraan telah cuba untuk memadamkan kebakaran, namun gagal kerana kepulan asap yang tebal.




"Pekerja penyelenggaraan elektrik kemudiannya memaklumkan kepada anggota Polis Bantuan bertugas untuk tindakan susulan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.


Beliau berkata, siasatan awal pihak bomba mendapati punca kejadian dipercayai akibat daripada percikan api ketika kerja ubah suai dan penyelenggaraan yang terkena longgokan kertas lama di rumah sampah itu.

"Bagaimanapun punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba.

"Kebakaran berjaya dipadamkan oleh pihak bomba sepenuhnya pada jam 4.30 petang," ujarnya.

Tambahnya, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan jumlah kerugian belum dikenal pasti akibat daripada kebakaran terbabit. 

- Sinar Harian