Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Bubar segera DUN Kedah, Kelantan dan Terengganu, kata Shahidan


PADANG SERAI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Kelantan dan Terengganu yang dipimpin Menteri Besar dari parti Perikatan Nasional (PN) wajar dibubarkan dalam masa terdekat sebaik sahaja selesai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman.

Cadangan itu disyorkan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim selepas melihat kepada sokongan rakyat kepada gabungan berkenaan terutama daripada kalangan orang Melayu ketika PRU15, 19 November lalu.

Tambah beliau, syor berkenaan juga dibuat selepas PN berjaya menyapu bersih kerusi Parlimen di Perlis, Kelantan dan Terengganu selain menang di 13 daripada 14 kerusi Parlimen di Kedah.

"Jadi saya percaya kepada (pemimpin PN di negeri) Kedah, Kelantan, dan Terengganu, (bahawa) ini masa yang terbaik (untuk bubar DUN).

"Selepas kita habis (PRU15 di) Padang Serai dan Tioman dan kita akan menang dengan izin Allah, eloklah buat pilihan raya negeri sebab pernah berlaku dalam sejarah bila Rasulullah balik pada satu peperangan, Rasulullah tidak benarkan askar-askar balik ke rumah, terus berperang, berperang dengan orang-orang Yahudi yang telah menipu orang Islam.

"Jadi selepas pilihan raya ini saya ingat askar-askar (jentera) kami pun tidak balik lagi, khemah perpaduan ummah kami ada (lagi) di sini, kami tidak (akan) balik terus (dan akan ada) dengan (jentera PN untuk) pilihan raya (negeri) di Kedah, saya rasa (jika dilakukan PRN), Kedah (akan) macam Perlis juga, PN akan sapu bersih (kerusi DUN)," katanya.


Shahidan berkata demikian ketika sidang media selepas menyertai 'flashmob' kempen Perikatan Nasional di Pekan Lunas, Padang Serai pada Ahad.

Untuk rekod, PN menang di 14 daripada 15 kerusi DUN di negeri Perlis pada PRU15 sekali gus menyaksikan pentadbiran Barisan Nasional (BN) di negeri itu berjaya ditukar buat kali pertama dalam sejarah.

Gabungan itu juga berjaya menang di kesemua tiga kerusi Parlimen di Perlis, lapan kerusi Parlimen di Terengganu dan 14 kerusi Parlimen di Kelantan.

-Awani