Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Anwar selesai angkat sumpah sebagai PM ke-10


KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara pada pukul 5 petang tadi.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Antara yang hadir menyaksikan upacara bersejarah itu ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Selain itu, turut kelihatan ialah Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan Rafizi Ramli.

Anwar, 75, dilantik sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan susulan Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15).


Pelantikan tersebut berikutan perkenan Seri Paduka Baginda selepas mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada sebelah pagi, hari ini.

Anwar dipercayai akan menerajui Kerajaan Persekutuan baharu menggabungkan dua parti terbesar iaitu PH dan Barisan Nasional (BN) dengan majoriti kerusi Parlimen iaitu 112.

Pada PRU15, PH memenangi sebanyak 82 kerusi Parlimen, diikuti Perikatan Nasional (73 kerusi), BN (30 kerusi), Gabungan Parti Sarawak (22 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (enam kerusi) dan calon Bebas, dua kerusi. 

– KOSMO! ONLINE

k