Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

PM tak bincang isu tarikh PRU15 dengan kabinet


KUALA LUMPUR: Mesyuarat Kabinet hari ini hanya membincangkan persiapan menghadapi banjir tanpa menyentuh tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, perbincangan Kabinet tertumpu kepada persediaan menghadapi banjir berikutan amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi (METMalaysia).

"Mengikut maklumat METMalaysia pada Oktober akan berlaku banjir sama ada awal atau akhir bulan, kita tidak pasti.


"Jadi kita perlu membuat persiapan. Jika banjir berlaku, semua akan terbabit. Pasukan petugas khas, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi berkaitan , Jabatan Kebajikan Masyarakat sedang buat persiapan termasuk pusat pemindahan sementara," katanya.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata cadangan untuk mengadakan PRU15 dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Beliau dilaporkan berkata, akan membawa pendapat semua pihak berhubung bila PRU15 patut diadakan.

Ditanya sama ada selamat untuk diadakan PRU15 tahun ini berikutan jangkaan banjir, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata, perkara itu bergantung kepada kawasan dan lokasi juga mengambil kira mereka yang akan terbabit dengan kerja menghadapi banjir seperti agensi kerajaan, bomba dan polis.

"Bagi kita (PAS) lebih baik PRU15 tidak diadakan kerana sudah ada indikator akan berlaku banjir lebih awal," katanya.