Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Zaid Ibrahim: Dulu penyokong Mahathir, kini pembela Najib Razak


Sebelum PRU2018, Zaid Ibrahim merupakan penyokong Dr Mahathir Mohamad dan antara pengkritik lantang Najib Razak.

Namun kini firma guaman barunya telah dilantik mewakili Najib dalam rayuan terakhirnya di peringkat Mahkamah Persekutuan, setelah disabit bersalah dalam kes SRC International.

Berhubung sebab dia menukar pendiriannya, Zaid menjawab dia tiada komen ketika ditanya Malaysiakini.

Namun, dalam satu video di Facebook awal bulan ini, bekas menteri undang-undang itu memberi penjelasan yang boleh menjadi pembayang terhadap perkara itu.

"Masa itu saya yakin dia terlibat dalam skandal 1MDB secara langsung. Selepas mendengar kes di mahkamah, khususnya kes SRC dan 1MDB, saya mengubah fikiran.

"Sekarang saya yakin Najib kena tipu. Najib ditipu bukan saja oleh Jho Low tetapi pegawai-pegawainya, pegawai dalam 1MDB. Dia ditipu oleh Goldman Sachs, dia ditipu oleh Aabar Investments dari Abu Dhabi.

"Jadi kehilangan wang berbilion ringgit itu, pada pendapat saya, bukanlah kesalahan dia, dalam erti kata dia yang merancang semua itu," katanya dalam video yang dimuat naik di laman Facebooknya.

Zaid berkata, lagi sebagai perdana menteri, Najib memang bertanggungjawab terhadap perkara itu.

"Tetapi itu soal lain. Kebertanggungjawaban itu sebab dia perdana menteri tapi saya rasa dia bukanlah yang merancang untuk menipu rakyat Malaysia," katanya lagi.

Zaid juga mendakwa tindakan kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin untuk menerima penyelesaian berjumlah AS$3 bilion dengan Goldman Sachs sebagai tidak adil.

"Sepatutnya kita suruh Goldman Sachs bayar AS49 bilion," katanya.

Dalam pada itu, Zaid berkata dia mahu tahu apakah peranan Bank Negara dan pegawai 1MDB dalam skandal tersebut.

"Jadi seolah-olah nak marah seorang saja - Najib. Tetapi tiada pun tunjuk rasa marah kenapa tak jumpa lagi Jho Low. Tak ada usaha pun nak cari dia...

"Tak marah kenapa Bank Negara tak ambil tindakan. Tak ada rasa marah kepada Maybank dan bank-bank tempatan (lain). Yang kita nak marah adalah Najib," katanya.


Merujuk kepada himpunan peguam untuk membantah penyiasatan terhadap hakim yang menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Najib, dia berkata: Tiada 'walk for justice' untuk 'bring back Jho Low, tiada orang 'walk for justice' sebab hanya minta AS$3 bilion dari Goldman Sachs."

Menurut Zaid, kekangan masa mungkin menjadi faktor menghalang Umno dan BN untuk memberikan penjelasan sewajarnya berkenaan skandal 1MDB sebelum PRU lalu dan maka ini adalah masanya untuk berbuat demikian.

"Bukan soal kita nak ketepikan keputusan hakim. Hakim buat keputusan dia. Tetapi kita, rakyat, mesti ada pendirian sendiri. Hakim pun boleh buat silap. Seluruh dunia kita lahit kes-kes yang hakim silap. Tapi biar mereka buat keputusan.

"Tapi kita rakyat juga mesti faham isu ini, peranan Goldman Sachs, 1MDB, isu peranan saksi dan pendakwaan. Kita perlu faham semua ini, barulah kita dapat buat keputusan adil terhadap Najib Razak.

"Saya rasa eloklah kalau Umno beri penjelasan. Jangan was-was, jangan bimbang nanti orang kata 'kamu sokong penyangak, kamu penyokong perasuah'. Anda perlu yakin dengan pemimpin anda.

"Kes tak habis lagi pun dan banyak keterangan yang diberi itu cakap dengar (hearsay), ertinya 'ini Jho Low suruh...Jho Low maknanya Najib'. Bukti seumpama itu," katnaya.

‘Jangan tak kenang budi’

Dia juga menasihati orang ramai agar tidak menjadi "kumpulan yang tidak kenang budi", misalnya menjadi marah apabila Najib mengadap Yang di-Pertuan Agong atau diundang untuk menguji fasa pertama MRT laluan Putrajaya sebelum ia dilancarkan sebelum ini.

"Apa salahnya? Proses mahkamah belum selesai lagi.

"Anda mahu gelar dia banduan (convict), terpulang pada anda. lagipun, Agong ini raja, nak jemput siapa pun terpulang kepadanya. Kalau Agong boleh ampun orang itu dan orang ini, takkanlah jemput ke rumah (sendiri) pun tak boleh? Very silly," katanya.

Kenyataan Zaid dalam video ini ternyata bertentangan dengan pendirian sebelumnya. Ketika itu, berbanding menggesa orang untuk berlaku adil terhadap Najib, dia menyeru mereka untuk berhimpun bagi mendesaknya letak jawatan.

Misalnya, dalam satu tulisan di blognya pada 19 Februari 2016, bekas menteri undang-undang itu menuduh Najib merosakkan institusi awam dan mewujudkan suasana ketakutan.

Ketika itu dia juga menyangkal perbandingan skandal 1MDB dengan dakwaan rasuah terhadap Mahathir.

"Mahathir tidak pernah curi wang kerajaan, sama ada menerusi syarikat-syarikat yang berdaftar di Kepulauan Virgin British atau cara licik lain. Tidak satu sen pun. "Malah beliau juga mencabar Najib untuk menyiasatnya.

"Najib, sebaliknya terlibat dalam pelbagai skandal kewangan, sama ada pembelian kapal selam, 1MDB dan 'derma’ yang diterimanya sebagai perdana menteri.

"Najib dan isterinya amat kaya dan gaya hidup mereka seperti raja dan permaisuri. Sebaliknya, Mahathir dan (isterinya) Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali hidup secara sederhana.

"Walaupun Mahathir menyuruh Najib dan polis untuk menyiasatnya, Najib pula sibuk mengarahkan siasatan ke atasnya ditutup. Nampak perbezaannya? " katanya ketika itu.

-Malaysiakini