Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Selesai konsert dua kumpulan SEARCH, Afjets tuntut pampasan RM1 juta


Afjets Sdn Bhd akan mengambil langkah wajar dalam masa terdekat untuk melaksanakan keputusan mahkamah bagi mendapatkan pampasan lebih RM1 juta ringgit dan ganti rugi am yang belum ditaksir terhadap kumpulan rock Search.

Peguam Adnan Seman dari Tetuan Adnan Sharida & Associates dalam satu kenyataan berkata, Afjets mengambil maklum laporan media mengenai penganjuran dua konsert berasingan iaitu Search Endemik dan Rockin’ on the Rooftop baru-baru ini yang dijayakan oleh anggota dan bekas anggota kumpulan muzik Search yang kini bergerak secara berasingan.

“Afjets mengambil perhatian pada pengumuman pihak pengurusan Search yang dianggotai oleh Din dan Kid mengenai siri konsert jelajah Malaysia, Singapura dan Indonesia yang dijadual akan berlangsung antara Ogos 2002 hingga Mac 2023.

“Afjets terkejut dan memandang serius pengumuman itu kerana sehingga ini, selepas hampir lima tahun, pihak syarikat masih lagi menunggu maklum balas daripada pihak kumpulan Search mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam itu,” katanya.

Afjets adalah syarikat yang sepatutnya menaja dan menganjur Konsert Search 35 Tahun yang dirancang untuk diadakan pada 2016 tetapi kemudian dibatalkan oleh anggota kumpulan rock itu.

Susulan pembatalan siri konsert terbabit, Afjets mengambil tindakan mahkamah terhadap kumpulan Search.

Pada 18 Ogos 2017, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengarahkan tiga anggota kumpulan Search iaitu Nasir Daud (bass), Noordin Mohd Taib (Din) dan Hamzah Mohd Taib (Kid) membayar hampir RM500,000 sebagai ganti rugi khas kepada Afjets kerana melanggar perjanjian berhubung pembatalan konsert mereka.

Afjets juga diputuskan berhak untuk menerima ganti rugi am yang belum ditaksirkan, yang dijangka tidak kurang daripada RM1 juta.

Atas nasihat peguam, Afjets tidak mengemukakan tindakan terhadap penyanyi asal Search Suhaimi Abd Rahman (Amy) pada masa itu kerana penyanyi itu telah muflis.


Afjets juga difahamkan pada masa ini, Nasir juga telah muflis.

Menurut Adnan, Afjets sudah memberikan tempoh yang agak lama untuk kumpulan Search mengatur semula kedudukan kewangan mereka.

“Afjets beranggapan penganjuran dua konsert berasingan baru-baru ini dan pengumuman siri konsert yang berikutnya membayangkan kumpulan Search kini sudah kembali ke landasannya dan boleh melunaskan segala komitmen kewangannya yang tertunggak.

“Afjets dengan ini mengarahkan peguamnya untuk melaksanakan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Ogos 2017, termasuk berhubung dengan pihak pengurusan Search sekarang,” katanya.

-MalaysiaKini