Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Polis tahan pemandu bas, cabul penumpang wanita sedang tidur


MELAKA – Seorang pemandu bas ditahan di Melaka Sentral di sini, hari ini selepas disyaki mencabul seorang penumpang wanita ketika dalam perjalanan dari Kelantan ke negeri ini.

Suspek berusia 27 tahun itu dicekup sebaik sahaja kenderaan yang dipandunya tiba di terminal tersebut pada pukul 10.30 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, sebaik menerima maklumat, pihaknya digerakkan ke terminal untuk menunggu ketibaan bas tersebut.

“Mangsa dicabul ketika bas itu berhenti di Ajil, Terengganu pada pukul 4 pagi. Ketika kejadian wanita itu sedang tidur sebelum terjaga selepas badannya disentuh,” katanya ketika dihubungi.

Beliau memberitahu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah di sini pada pukul 12 tengah hari tadi dan kes diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu.

Kejadian itu turut dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh menerusi satu klip video berdurasi 3 minit 41 saat di laman Facebooknya.


Menurut Muhammad Akmal, beliau menerima kiriman mesej daripada kenalan Facebook yang memaklumkan kejadian itu dan diminta supaya menyelamatkan mangsa.

“Rakan saya memaklumkan kawannya dicabul pemandu bas dan saya meminta nombor telefon untuk menghubunginya.

“Mangsa tidak menjerit kerana takut dan hanya menangis selepas kejadian tersebut,” katanya.

Tambahnya, beliau dan beberapa rakan menunggu bas tersebut di terminal bagi memastikan suspek diberkas dan mangsa diselamatkan. 

– KOSMO! ONLINE