Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Najib gelar Anwar 'jaguh forensik' selepas debat


KUALA LUMPUR: Selepas debat perdana dengan Anwar Ibrahim, Najib Razak menggelar ketua pembangkang itu sebagai “jaguh forensik”.

Najib memberi gelaran itu selepas Anwar menggesa kerajaan melakukan audit forensik terhadap Sapura Energy Berhad (SEB) dalam usaha menyelamatkan syarikat itu daripada pelbagai permasalahan yang berlaku.

“Dia (Anwar) sudah jadi jaguh forensik manakala kita jaguh rakyat,” katanya ketika berucap di depan penyokongnya di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, selepas sesi debat perdana di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic).

Ketibaan Najib di WTC disambut dengan laungan “bossku”.

Menerusi ucapanya berhubung isu SEB Najib berkata, syarikat itu perlu diselamatkan daripada muflis demi kepentingan rakyat.

Selain itu, Najib berkata debat berkenaan adalah platform baginya menunjukkan Umno berada di landasan dan falsafah yang betul berbanding pembangkang.


“Saya ingin tunjukkan Umno berdiri dalam landasan betul, idea kita lebih bernas dan kita ada falsafah lebih baik,” katanya sambil memaklumkan sudah tiba masa Umno kembali mentadbir Putrajaya.

Sementara itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan ucapan Najib lebih baik daripada Anwar semasa berdebat.

“Memang ‘bossku’ juara, yang penting bukan retorik tapi fakta. Dari segi fakta tak boleh lawan ‘bossku’. Setiap sesi debat dikuasai oleh ‘bossku’,” katanya.