Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Syed Saddiq bertanding di PRN Johor, manifesto belum siap


JOHOR BAHRU: Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Muar dijangka bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi Muda Johor, Mohd. Azrol Rahani berkata, selain itu, Setiausaha Agung, Nur Amira Aisyah Abd. Aziz juga dijangka membuat kemunculan sama dalam pilihan raya pertama mereka selepas Muda diluluskan.

Menurut beliau, jangkaan itu dibuat memandangkan kedua-dua kepimpinan tertinggi parti itu berasal dari negeri ini.

“Berdasarkan kajian kita, hampir kesemua kerusi DUN yang dipertandingkan di negeri ini akan melibatkan pertembungan lebih daripada dua penjuru.

“Namun kita percaya Muda mempunyai kelebihan di beberapa kawasan, serta ada kemungkinan besar Presiden dan Setiausaha Agung kita akan turut bertanding dalam PRN ini,” katanya ketika ditemui di pejabat Muda Johor, di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd. Azrol memberitahu, pihaknya kini sedang mempersiapkan jentera dan juga manifesto parti berkenaan dalam menghadapi PRN Johor akan datang.

“Kita sedang memuktamadkan manifesto yang akan memberi tumpuan bukan sahaja kepada golongan muda tetapi semua lapisan masyarakat, sama ada mereka penduduk kawasan bandar mahupun luar bandar.

“Ini kerana walaupun membawa jenama Muda, sasaran pengundi kita tetap masyarakat Johor yang berbilang agama, kaum, usia dan latar belakang,” jelasnya.

Tambah beliau, pihaknya juga bakal menggerakkan jentera di semua kawasan seluruh Johor di mana setakat ini, keahlian Muda di negeri ini sudah melebihi 12,000 orang.

Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor selepas menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

-utusan