Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Keputusan kedua ujian air kencing ADUN DAP negatif dadah -peguam


Ujian dadah kali kedua yang dijalankan ke atas wakil rakyat DAP di Perak, Terence Naidu, didakwa peguamnya gagal mengesan sebarang kesan dadah terlarang.

Menurut Ramkarpal Singh, Terence telah menerima keputusan ujian itu hari ini dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) bagi menggesa siasatan lanjut dijalankan.

“Memandangkan perkembangan baru ini, adalah jelas bahawa polis perlu menjalankan siasatan lanjut dengan segera demi keadilan, dan Terence bersedia untuk memberikan kerjasama penuh bagi tujuan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terence ditahan semasa serbuan polis di sebuah kelab malam di SPT pada 13 Jan lalu dan dia dikatakan menjalani ujian air kencing yang menunjukkan kesan positif dadah.

Bagaimanapun Adun Pasir Bedamar, Teluk Intan itu menafikan mengambil sebarang bahan terlarang sebaliknya mendakwa minumannya mungkin telah dicemari.

Menurut Ramkarpal, Terence pergi ke sebuah klinik swasta di Pulau Pinang untuk menjalani ujian kali kedua pada 15 Jan, iaitu sehari selepas dia dibebaskan dengan jaminan polis.

Ramkaral


“Saya juga dimaklumkan Terence telah menjalani ujian kedua sendirian di Klinik O2 kerana tidak berpuas hati dengan ujian pertama yang dijalankan oleh polis yang mendapati ada dadah dalam air kencingnya.

"Ia juga dibuat kerana permintaannya supaya polis melakukan ujian kali kedua tidak dilayan," katanya.

Tambah peguam itu Terence memberitahu sampel air kencing yang diambil oleh Klinik O2 dianalisis oleh makmal Pathlab dan sama sekali tidak menemui sebarang kesan dadah dalam air kencingnya.

Malaysiakini sudah menghubungi Ketua Polis Daerah SPT, ACP Shafee Abd Samad untuk mendapatkan komennya.