Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Hadi gesa UMNO ikut nasihat MKT, bukan akar umbi



PETALING JAYA: Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mendakwa majoriti anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno cenderung untuk terus bekerjasama dengan partinya di sebalik kedudukan PAS yang tekal meneruskan hubungan baik bersama Bersatu.

Berikutan itu, Hadi memberikan “nasihat” agar ahli Umno mengikut keputusan dibuat MKT dan bukannya pandangan daripada pemimpin di peringkat bahagian.

Malah, beliau juga berpendapat penetapan pendirian itu sepatutnya tidak mengikut acuan “demokrasi Barat”.

“Saya difahamkan majoriti ahli MKT Umno (mahu) bekerjasama. Umno kena ikut pemimpin…majlis tertinggi dia, bukan bahagian-bahagian. Bahagian-bahagian ni akar umbi… itu lain cerita.

“Kita tak boleh pakai demokrasi barat. Kita kena ikut pimpinanlah,” katanya menurut laporan Malaysiakini.

Terdahulu, Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu ditanya sama ada beliau yakin atau tidak Umno mahu bekerjasama dengan mereka.

Status kerjasama PAS-Umno yang dimeterai melalui Muafakat Nasional (MN) terus menjadi tanda tanya. Ketika Umno mendesak agar keputusan muktamad dibuat mengenai kedudukan MN, PAS pula terus menegaskan pendiriannya untuk bekerjasama dengan kedua-dua parti secara serentak.

Beberapa pemimpin atasan Umno sudah membayangkan bahawa MN sebenarnya sudah berakhir.

Bagaimanapun tiada sebarang ketetapan rasmi dibuat mana-mana pihak mengenai kerjasama tersebut.

Sebelum ini hubungan kedua-dua parti semakin tegang ekoran kegagalan mereka mencapai kata sepakat berhubung pengagihan kerusi bagi menghadapi pilihan raya negeri di Melaka.