Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Guru Besar guna syarikat isteri untuk kepentingan, didenda RM20k penjara 3 bulan



PETALING JAYA: Seorang guru besar dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuantan, selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan melantik syarikat milik isterinya dalam urusan berkaitan sukan perahu layar, kira-kira lapan tahun lalu.

Menurut laporan Bernama, Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain turut memerintahkan tertuduh Khairul Azizi Ab Aziz, 55, dihukum penjara tambahan selama 12 bulan, jika tertuduh yang beralamat di Pulau Tioman, Rompin gagal menjelaskan denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Khairul Azizi didakwa melakukan kesalahan itu ketika berkhidmat sebagai Guru Penolong Kanan Kokurikulum di Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating dengan mencadangkan syarikat milik isterinya, Sueazizi Enterprise kepada guru besar sekolah tersebut bagi urusan bayaran pesanan sekolah.

Ia melibatkan bayaran berkaitan peruntukan perahu layar bagi latihan Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSSP) bernilai RM1,200 pada 19 Mac 2014 dan bayaran RM700 bagi program perahu layar anjuran Kementerian Pendidikan pada 15 Dis 2014.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Siti Sarah Zainal Abiddin.

Terdahulu, tertuduh memberitahu mahkamah bahawa dia telah berkhidmat dalam bidang pendidikan selama 31 tahun dan dilantik sebagai guru besar pada 2016.

“Kesalahan dilakukan ketika saya menjadi guru penolong kanan dan pada masa itu, saya tidak pernah mengikuti apa-apa kursus formal berkaitan pengurusan kewangan kerajaan. Sebagai jurulatih MSSP, saya cuba memaksimumkan nilai ringgit yang diperuntukkan bagi memastikan sukan perahu layar berada di landasan yang betul.

“Murid yang terlibat datang dari pelbagai daerah seperti Rompin, Jerantut, Bentong dan Kuantan. Saya mengorbankan masa dan wang ringgit membantu mereka kerana ada yang berasal daripada keluarga susah sedangkan sukan perahu layar agak mahal.

“Sepanjang menguruskan sukan ini sejak tahun 2010 hingga sekarang, sukan pelayaran telah melahirkan ramai atlet termasuk ke peringkat Olimpik di Jepun tahun lepas,” katanya.

Tertuduh memohon mahkamah memberi pertimbangan untuk menjatuhkan hukuman lebih ringan memandangkan dia menanggung beban hutang selain mempunyai isteri tidak bekerja dan dua anak yang masih belajar di institusi pengajian tinggi (IPT).

-FMT