Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Amy nak juga guna nama SEARCH tiada masalah -Nordin



Kuala Lumpur: "Kami tidak pernah menolak mereka (Amy dan Nasir). Kita tak tahu akan datang jadi apa, kita berharap sajalah. Kami terpaksa teruskan Search kerana kumpulan ini masih ada peminat. Rugi kalau kita tak teruskan," kata pemain gitar Search, Noordin Mohd Taib.

Persoalan ini diajukan berikutan pemain bass, Nasir dan bekas penyanyi mereka, Amy turut menggunakan nama Search dalam projek lagu terbaharu mereka yang menampilkan bekas pemain gitar Search, Man Kidal dan Hillary Ang.

Noordin berkata, dia sebenarnya tidak terfikir untuk mengambil Search menjadi miliknya.

"Memang tiada niat pun, tapi ia berlaku atas tindak tanduk mereka sendiri. Saya bukan nak nama tapi hanya nak jadi pentadbir Search disebabkan selama ini pengurusan tidak bagus.

"Empat orang yang tinggal dan bila seorang berundur, habis yang tiga ini takkan nak duduk diam. Kita kena jana pendapatan. Kami berhak guna nama Search sebab kami tak pernah keluar. 

Kita tak payah pergi mahkamah pun untuk selesaikan isu ini," katanya dalam sidang media Pengumuman Penyanyi Baru Search & Pembukaan Search Rock Station di Kompleks Campbell, di sini, semalam.


Mengulas persoalan mereka dikatakan tidak berdisiplin yang menjadi punca konflik, Kid berkata, ia tiada kaitan dengan apa yang berlaku.

"Itulah yang saya tak nak sentuh sangat kerana antara kami boleh berhubung untuk selesaikan itu dan tak perlu babitkan pihak lain pun.

"Itu isu dalaman dan nanti balas membalas akan berpanjangan. Kami ambil pendirian biarlah fokus pada apa yang dibuat sekarang," katanya.

Menurut Noordin, isu disiplin sebenarnya tidak timbul sebelum ini.

"Kenapa hanya baru-baru ini? Bila jadi begini dia melangkaui isu lain. Mereka cuba cari alasan yang lain. Saya pernah tanya mereka, kamu jawab soalan saya. Jangan saya tanya lain dijawab lain. Soalan saya semasa buat 'live' mereka tak jawab. Sampai sekarang mereka tak jawab sebaliknya cerita benda lain. "Jawab soalan saya dan saya boleh jawab balik apa mereka kata. 

"Ia tiada mengena dengan disiplin atau yang lain. Sebab mereka kena rujuk balik apa yang saya buat 'live' dan yang keluar dalam program Melodi," katanya.

Noordin dan Kid bagaimanapun tidak mahu bergaduh dan minta semua pihak mendoakan yang baik-baik dalam isu ini.

"Kami pun malu bila dihentam di Facebook. Kami terasa sebenarnya kerana kami ibarat satu keluarga. Mereka nak gunakan nama itu okaylah. Kita fikir yang baik-baik, tiada masalah pun. Doa yang baik-baik. Jangan timbulkan isu. Kami bukan nak bergaduh.

"Pengasas mungkin main satu, dua atau tiga album, tapi saya main lapan album. Siapa yang lebih layak? Secara logiknya inilah jawapannya," kata Kid.

Sementara itu, mengulas mengenai pemilihan penyanyi Indonesia, Denden Gonjales sebagai penyanyi baharu Search, Noordin berkata, dia menjumpai Denden di YouTube.

"Dia banyak 'cover' lagu Search seperti Isabella dan Hilang Dalam Terang. Saya tengok dia memang kena. Kriteria dia cenderung ke arah rock juga. Suara dia sesuai kerana kami perlukan penyanyi bernada tinggi. Kebanyakan lagu-lagu Search bernada tinggi," katanya.

Kid pula berkata, semua sedia maklum Search sekitar 21 tahun dulu adalah satu nama besar di Indonesia.

"Kami pilih Denden bukan kerana tiada penyanyi Malaysia. Kita ada ramai penyanyi berbakat, tapi kita kena faham. Ini adalah misi kami untuk ke luar negara. Denden pernah beritahu orang di Bulgaria pun kenal Search," katanya.