Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Najib kuarantin kendiri kerana kontak rapat, Hakim tegur 'ini bukan kedai kopi'



Mahkamah Rayuan pagi ini dengan tegas mengingatkan pasukan peguam bekas perdana menteri Najib Razak bahawa mahkamah bukan kedai kopi, lapor MalaysiaKini.

Panel hakim yang dipengerusikan Abdul Karim Abdul Jalil, menegur peguam bela Harvinder Singh Sidhu dan seorang penjamin yang hadir pada prosiding hari ini.

Panel itu memberi reaksi kepada penjelasan peguam mengenai ketidakhadiran Najib pada prosiding jenayah hari ini kerana didakwa sedang melakukan kuarantin kendiri akibat mempunyai kontak rapat dengan individu positif Covid-19 yang juga dalam pasukan peguam beliau sendiri.

Harvinder hari ini meminta pendengaran yang dijadualkan hari ini berhubung permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baru dalam kes rayuan SRC International Sdn Bhd ditangguhkan.

Menurut laporan dari Malaysiakini apabila penjamin tidak dapat menjawab soalan panel hakim mengenai ketiadaan Najib, Abdul Karim mengingatkannya dan peguam bahawa perlu lebih banyak bukti lagi untuk menyokong ketidakhadiran Najib di mahkamah hari ini.

“Tarikh perbicaraan hari ini telah pun dimaklumkan, dan penjamin telah dimaklumkan.

“Kita boleh membatalkan jaminan (RM2 juta) dan keluarkan waran tangkap atas ketidakhadiran Najib hari ini.

“Anda sendiri (penjamin) tidak tahu Najib tiada di sini. Anda hanya meneka.

"Ini bukan kedai kopi, ini mahkamah, jangan main teka-teka sahaja," kata Abdul Karim dengan tegas.

Dia mengingatkan Harvinder bahawa lebih banyak bukti konkrit diperlukan berbanding penjelasan lisan bagi menyokong alasan ketidakhadiran Najib.

Pendengaran diteruskan secara online

Panel itu kemudian menolak permohonan peguam untuk menangguhkan perbicaraan bagi permohonan bukti baru hari ini, dan mengarahkan perbicaraan disambung semula pada pukul 12.30 tengah hari ini melalui zoom.

Abdul Karim juga mengingatkan pasukan pembelaan bahawa tarikh keputusan esok untuk rayuan Najib dalam kes SRC belum dilapangkan dan masih diteruskan, sementara menunggu keputusan permohonan bagi mengemukakan bukti baru.

Malam tadi, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengemukakan permohonan untuk menangguhkan perbicaraan bagi kes SRC International selepas salah seorang peguamnya didapati positif COVID-19.

Peguam utama dalam pasukan itu, Muhammad Shafee memaklumkan mahkamah melalui surat, yang didedahkan kepada media lewat malam tadi, bahawa salah seorang peguamnya didapati positif COVID-19 manakala yang lain telah menjadi kontak rapat.

Mahkamah Rayuan sepatutnya mendengar permohonan yang difailkan oleh Najib pada 1 Dis lalu di mana Ahli Parlimen Pekan itu meminta Mahkamah Rayuan membenarkan dan mengarahkan bukti viva voce (bukti lisan) Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki antara lain untuk diambil bagi tujuan rayuan Najib.

Mahkamah rayuan juga bersedia untuk menyampaikan keputusan dalam rayuan Najib dalam kes SRC International pada Rabu.

Dalam suratnya, Muhammad Shafee meminta mahkamah mengosongkan perbicaraan untuk kedua-dua prosiding hari ini dan esok kerana peguam, yang merupakan anaknya, Muhammad Farhan, telah disahkan positif COVID-19 pada 6 Dis.